suria

'Karier saya tak bergantung pada Sheila'

Acis enggan ulas tentang kemungkinan jawatan Pengetua AF7 menjadi milik Sheila
Acis enggan ulas tentang kemungkinan jawatan Pengetua AF7 menjadi milik Sheila
Acis enggan ulas tentang kemungkinan jawatan Pengetua AF7 menjadi milik Sheila

DESAS-DESUS yang mengatakan jawatan Pengetua AF7 mungkin bakal menjadi milik Datuk Sheila Majid nampaknya terus hangat diperkatakan apatah lagi bila suaminya, Hashridz Murshim atau Acis telah dipilih menjadi salah seorang tenaga pengajar AF musim baru ini selaku Pengarah Muzik.

Ada pihak yang merasakan pemilihan Acis itu sebagai 'petanda' oleh Astro bahawa 'kerusi panas' tersebut memang sah menjadi milik penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran itu.

Seperti mana pihak Astro terus membiarkan media berteka-teki, Acis yang ditemui pada sidang media pengenalan barisan tenaga pengajar dan pengacara AF7 semalam, juga enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Namun, dia akui kurang senang dengan sesetengah pihak yang merasakan dia dan Sheila adalah satu 'pakej' dan disebabkan itu, Astro memilih kedua-duanya sekali untuk bersama-sama menerajui AF musim baru ini.

"Kami bukan 'pakej' yang mana jika Sheila dipilih, bermaksud mereka juga perlu mengambil saya. Sepanjang karier saya ini, saya tidak pernah bergantung kepada isteri saya untuk dapatkan 'job'.

"Antara saya dan Sheila, kami cukup profesional bila menyentuh tentang karier. Malah, dia mempunyai pengurusannya sendiri dan saya juga ada pihak pengurusan saya.

"Saya sendiri tidak tahu tentang jawatan Pengetua yang mungkin menjadi miliknya. Itu kenalah tanya kepada pihak Astro dan Sheila sendiri," tutur Acis.

Bercerita tentang jawatan Pengarah Muzik yang dipikulnya itu, kata Acis, tugas itu ditawarkan kepadanya ketika dia dan Sheila mengerjakan haji pada bulan Disember lalu.

"Pihak Astro menghantar SMS kepada saya ketika saya berada di Madinah ketika itu dan menyampaikan hasrat mereka. Setelah saya pulang ke sini, barulah kami berbincang mengenai tawaran tersebut dan tugas yang perlu saya pikul.

"Apa yang saya buat ini bukan untuk meraih populariti. Sudah tentu ini adalah platform yang baik untuk lonjakkan nama saya, tetapi apa yang lebih penting di sini ialah tanggungjawab saya," kata Acis.

Dia akui, bukan mudah untuk mengendalikan muzik sepanjang berlangsungnya konsert mingguan itu. Namun, berbekalkan pengalamannya sebagai pemuzik, Acis akan melakukan tugasnya sehabis baik.

"Saya akan tekankan kepentingan 'live band' yang sebenarnya lebih baik dari menggunakan 'minus one'. Saya akan bawa lima pemuzik bersama saya nanti ketika persembahan mingguan.

"Memandangkan pelajar-pelajar yang terpilih nanti bukannya golongan profesional, jadi saya perlu memastikan susunan muzik untuk mereka bersesuaian," katanya.

Tambah Acis lagi, dia juga sudah bersedia dengan sebarang kritikan yang bakal singgah terhadapnya kelak.

"Kritikan bagi saya adalah perkara biasa memandangkan saya juga adakalanya mengkritik hasil kerja saya sendiri. Asalkan ia adalah kritikan yang membina, saya tidak ada masalah tentang hal itu.

"Cuma kalau boleh, saya tidak mahu dibandingkan dengan pengarah muzik terdahulu sebagai contoh Ramli M.S. Masing-masing ada pendekatan berbeza. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik dengan kepercayaan yang diberikan," kata Acis.

AF7 akan bermula dengan Tirai Akademi Fantasia 7 pada 7 Mac depan dan diikuti Diari Akademi Fantasia bermula 9 Mac manakala konsert mingguan akan bermula pada 14 Mac depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain