suria

Cat pernah dikasari bekas kekasih?

Catriona dan tunangnya, Shahruddin mementingkan gambar yang menarik apabila melakukan sesi fotografi. -foto ihsan Cat
Catriona dan tunangnya, Shahruddin mementingkan gambar yang menarik apabila melakukan sesi fotografi. -foto ihsan Cat
Catriona dan tunangnya, Shahruddin mementingkan gambar yang menarik apabila melakukan sesi fotografi. -foto ihsan Cat

PERASAAN pelakon Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross atau Cat, 29, untuk menerima tawaran filem terbarunya semakin meluap-luap lebih-lebih lagi apabila dia tidak akan melakonkan watak stereotaip lagi.

Lebih mengujakan, filem yang masih dirahsiakan tajuknya ini meletakkan Cat sebagai tunggak utama.

“Watak yang saya lakonkan di dalam filem ini adalah berbeza daripada lakonan saya sebelum ini.

“Saya boleh katakan yang watak tersebut bukan watak stereotaip lagi tetapi watak yang akan mencabar kredibiliti saya lebih-lebih lagi saya akan membawakan watak utama.

“Saya akan lakonkan karektor yang diambil dari kisah benar yang pernah berlaku dalam hidup seseorang wanita.

“Saya akui yang sedikit pengalaman di dalam cerita tersebut juga pernah dialami oleh saya iaitu dikasari oleh bekas kekasih ketika bercinta di universiti dulu,” cerita Cat mengenai filem yang bakal diumumkan di dalam pelancarannya pada 18 Februari ini.

Menurut Cat, dia terkedu apabila menerima skrip daripada produser dan pengarah filem tersebut kerana karektor yang bakal dilakonnya itu lagi teruk dikasari berbanding pengalaman hidupnya dahulu.

“Insya-Allah, saya akan cuba menghayati watak tersebut dengan lebih baik berdasarkan pengalaman yang pernah saya alami dulu,” kata Cat tentang filem yang bakal menjalani pengambaran mulai hujung bulan ini.

Ini merupakan filem keempat Cat selepas melakonkan watak pembantu di dalam filem Mistik, Qabil Khusry Qabil Igam dan Chermin.

Kata Cat, disebabkan filem ini, dia terpaksa menolak tawaran berlakon Muzikal Ibu Zain yang bakal dipentaskan pada Mac depan setelah terlebih dahulu menandatangani kontrak filem pada Disember lalu.

Dilema kerana berwajah kacukan

“Saya menerima tawaran berlakon filem ini kerana pengarah dan produsernya memberi 100 peratus kepercayaan kepada saya.

“Selama lima tahun saya di dalam industri, buat pertama kalinya pengarah tidak stereotaip dan mengatakan mereka memilih saya sebab saya mempunyai wajah ‘Pan-Asian’.

“Kalau dulu, saya selalu dilema berada dalam kalangan berwajah kacukan. Sebelum ini, ada yang cakap mereka tidak boleh mengambil saya kerana saya tidak nampak seperti orang Melayu jadi saya tidak sesuai dengan watak yang mereka ingin tawarkan.

“Sedangkan di Indonesia, ramai pelakon berwajah kacukan yang mereka agung-agungkan,” luahnya.

Selain filem, Cat juga aktif berlakon puluhan drama, sitkom dan telefilem antaranya Bonda, Cinta Bukan Dusta, Spanar Jaya, Kelas Malam, Sephia, Mek Salmah Dari Scotland, Kartina dan Datin Diaries.

Terbaru, Cat baru selesai menjalani pengambaran telefilem Cinta Zara yang bakal disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pilih rumah sebagai lokasi bersanding

Selain itu, Cat sedang membuat persiapan perkahwinan secara sendiri dan selebihnya diserahkan kepada perunding perkahwinan, Amir Firdaus dari WSA Wedding Consultant.

“Sekarang, saya sedang mencari ‘door gift’ untuk diberikan kepada tetamu nanti. Saya suka membuat dan menghias sendiri.

“Kadangkala, kalau kawan-kawan saya pergi ke Indonesia atau mana-mana tempat yang menjual ‘door gift’ menarik, saya minta mereka mengambil gambar kemudian menghantarnya kepada saya,” cerita tunang kepada Shahruddin Moktaruddin, 30, ini.

Selepas ditunangkan pada 4 Oktober lalu, mereka dijangka naik pelamin pada Jun depan.

“Saya juga telah membuat kad jemputan yang akan diedarkan sedikit demi sedikit nanti di Kota Bharu. Kira-kira 1500 jemputan yang akan hadir di dalam majlis resepsi tersebut.

“Saya rancang membuat majlis itu secara kecil-kecilan sahaja di rumah kami dan tetamu akan dihidangkan juadah secara bufet,” tutur Cat.

Tambah Cat, dia tidak gemar memilih dewan sebagai lokasi resepsi kerana dia dan tunangnya mementingkan gambar yang menarik apabila melakukan sesi fotografi.

Oleh sebab itu, dia dan Shahruddin memilih untuk mengadakan majlis resepsi di banglo milik keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

“Kalau kita ambil gambar di dalam dewan atau hotel, gambar itu tidak ‘hidup’ kerana dipengaruhi oleh latar belakang bangunan tersebut.

“Jika di rumah, saya mempunyai banyak pilihan untuk bergambar di mana saya bukan sahaja boleh menggunakan latar belakang pelamin malah kami juga boleh keluar bergambar di taman di luar rumah saya.

“Selain itu, belakang rumah saya juga mempunyai pemandangan desa.

“Dengan lokasi di rumah sendiri, tetamu yang datang juga tidak perlu terburu-buru untuk meninggalkan majlis kerana saya akan buka majlis itu daripada 12 tengah hari hingga ke 6 petang,” ujar Cat.

Selepas majlis resepsi di Kota Bharu, Cat berkata dua majlis resepsi lagi akan diadakan di Kuala Lumpur iaitu di pihak pengantin lelaki dan majlis untuk 400 tetamu yang terdiri daripada pihak media dan rakan-rakan yang tinggal di sebelah selatan dan di ibu kota.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain