suria

Sambutan 'berprestij' Tahun Baru Cina Rafflesia, Mandalay

Datuk Jimmy Choo (dua dari kiri) bersama beberapa selebriti memotong kek sempena Malam Gala Tahun Baru Cina Rafflesia/Mandalay - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Datuk Jimmy Choo (dua dari kiri) bersama beberapa selebriti memotong kek sempena Malam Gala Tahun Baru Cina Rafflesia/Mandalay - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Datuk Jimmy Choo (dua dari kiri) bersama beberapa selebriti memotong kek sempena Malam Gala Tahun Baru Cina Rafflesia/Mandalay - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

CUKUP meriah majlis sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung di Le Meridien Kuala Lumpur, malam tadi, anjuran Jewellery Circles Sdn.Bhd yang sememangnya sinonim dengan dua butik barangan kemas dan perhiasan wanita iaitu Rafflesia dan Mandalay.

Tampil dengan konsep Malam Gala, acara tersebut dilihat seperti sebuah majlis yang berprestij apatah lagi ia berlangsung di dalam suasana cukup 'mewah' dan dihadiri oleh lebih 20 selebriti popular antaranya Anita Sarawak, Ning Baizura, Nasha Aziz, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Syafinaz, Eja, Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2008 Soo Wincci, Suki dan Winnie K.

Apa yang menarik, selain selebriti dan 'orang kuat' organisasi-organisasi korporat, pereka kasut terkemuka Datuk Jimmy Choo serta bintang popular dari Hong Kong, Maria Cordero turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang cukup istimewa itu.

Bermula dengan sesi karpet merah, cabutan bertuah serta persembahan tarian singa, malam gala itu turut diserikan dengan persembahan menarik oleh Anita Sarawak, Ning Baizura, Syafinaz dan Maria Cordero.

Juara program Sehati Berdansa musim kedua, pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati juga tidak ketinggalan mempamerkan tarian Ballroom pada majlis tersebut.

Maria Cordero juga turut diraikan oleh pihak penganjur sempena hari lahirnya yang ke-55 di dalam acara yang berlainan pada majlis itu.

Kelainan yang ditampilkan di dalam majlis sambutan seperti ini, kata Pengarah Urusan butik tersebut, Winnie Sin, ia sememangnya diadakan bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah di kalangan kira-kira 250 tetamu yang hadir.

"Setiap tahun, saya tidak pernah ketinggalan mengadakan majlis meraikan Tahun Baru Cina. Cuma bezanya, kali ini saya buat dalam bentuk Malam Gala dan bertemakan 'Jewel Life'. Konsep seperti ini agak menarik juga sebenarnya.

"Selebriti-selebriti yang hadir malam ini turut dihiasi dengan aksesori seperti rantai, cincin, dan anting-anting dari batu jed, mutiara dan batu delima keluaran Rafflesia dan Mandalay.

"Jadi secara tidak langsung, selain dapat meraikan bersama kenalan serta pelanggan, kami juga dapat mempromosikan dua label barangan perhiasan kami ini," kata Winnie Sin.

Selebriti yang hadir juga menggayakan rekaan oleh pereka-pereka fesyen seperti Carven Ong, Bill Keith, Alvin Tay dan Michael Shu.

Ditanya tentang jemputan yang hadir pada malam itu, kata Winnie, semua tetamu terdiri daripada mereka yang sering bekerjasama dengan pihak Rafflesia dan Mandalay selama ini, selain kenalan rapat.

"Sebagai contoh, artis-artis yang dijemput malam ini semuanya yang banyak membantu saya di dalam acara-acara atau projek yang pernah saya buat dulu. Ramai juga yang dijemput, tetapi hanya kira-kira 20 artis saja yang dapat menghadirkan diri.

"Begitu juga dengan Maria Cordero yang merupakan salah seorang rakan baik saya. Perkenalan kami sebenarnya bermula sewaktu Rafflesia menjadi salah satu penaja konsertnya di Genting Highlands tidak lama dulu.

"Dari situ, kami mula berkawan baik sehingga kini. Dan saya cukup terharu kerana dia sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri malam gala ini," ujar Winnie.

Diajukan tentang Tahun Lembu yang kononnya mengikut kepercayaan Cina dikatakan membawa kurang 'tuah', kata Winnie, dia tidak memandang perkara itu dari segi negatif.

"Bagi saya, kita kena fikir positif tidak kira apa yang kita lakukan. Sama juga di dalam bisnes, setakat ini saya lihat perjalanan bisnes saya tidak ada masalah pun.

"Malah, kami juga akan terus mengadakan pelbagai aktiviti promosi lagi selepas ini," kata Winnie.

Artikel Sebelum

Wajah 'tua' Brad Pitt menjadi!

Artikel Lain