suria

Penangan mengandung anak sulung: Dynas kurang selera makan

Dynas sanggup berehat seketika dari bidang lakonan demi menjaga kesihatan kandungan sulungnya.
Dynas sanggup berehat seketika dari bidang lakonan demi menjaga kesihatan kandungan sulungnya.
Dynas sanggup berehat seketika dari bidang lakonan demi menjaga kesihatan kandungan sulungnya.

PASTI ramai yang bakal merindui wajah aktes jelita tinggi lampai, Dynas yang popular dalam drama seram Susuk satu ketika dahulu. Bukan kerana merajuk dengan bidang lakonan yang diceburinya sejak tiga tahun lalu namun isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini, terpaksa berehat sementara demi menjaga kesihatan kandungan sulungnya yang sudah mencecah usia empat bulan ketika ini.

"Memang saya rasa cepat penat dan badan mudah rasa letih dan tak bermaya. Mungkin inilah penangan mengandung anak sulung," ujarnya Dynas memulakan bicara.

Gara-gara perkara tersebut akhirnya Dynas nekad berehat seketika sehingga dia selamat melahirkan bayi sulungnya pada awal bulan Julai nanti.

"Masa mula-mula saya cuba kuatkan semangat juga, sebab dah biasa bekerja sebab rasa tak boleh duduk diam kalau tak buat apa. Tapi bila pregnant ni rasa lain sikit, cepat letih sangat, lagi-lagi bila baru balik shooting.

"Fizy pun dah nasihatkan saya suruh berehat masa pregnant dan kalau boleh dia mintak saya berhenti berlakon sementara waktu sebab risau tengok keadaan saya yang cepat letih," katanya yang masih lagi menjadi duta produk kecantikan Safi Balkis ini.

Kurang selera makan

Adat orang mengandung pasti ada ragam dan karenah pelik yang dilalui si ibu, lantas Dynas juga tidak telepas daripada perkara tersebut.

Jelas Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, perkara pelik yang terjadi kepada dirinya lewat kebelakangan ini adalah sikapnya yang kurang selera makan.

"Saya pun pelik, selalunya bila mengandung, akan jadi kuat makan tapi saya terbalik. Selera makan saya makin kurang dan saya makan pun kerana terpaksa sebab bimbang bayi dalam kandungan ini sakit. Itu sahaja.

"Kadang-kadang itu paksa diri untuk telan makanan biarpun sikit. Namun saya rasa beryukur sangat selama saya mengandung ini tak de la mengidam benda yang pelik-pelik.

"Cuma saya gemar makanan snek ringan dan ada sekali tu bila saya mengidam nak makan asam pedas ikan pari, alhamdulillah Kakak Fizy masakkan untuk saya.

"Dapat juga saya merasa, almaklumlah saya ni tak reti masak, nasib baik, kakak Fizy tinggal dengan kami," kata pelakon yang pernah membintangi filem Kayangan ini.

Pada masa yang sama Dynas yang berasal daripada Petaling Jaya ini mengakui tidak sabar untuk bergelar ibu.

"Saya akui memang teruja sangat masa dapat tahu mengandung pada bulan Oktober tahun lepas dan suami saya, Fizy pun sibuk membuat persiapan. Namun kami tidak la beli semua kelegkapan bayi sekarang, sikit-sikit dahulu.

"Lagipun kami tak tahu lagi jantina bayi dalam kandungan saya. Nanti kalau beli banyak barang warna merah jambu keluar baby boy susah pulak," ujar Dynas ceria.

Sibuk dengan butik Dna CelebrityStyle

Ditanya mengenai azamnya pada tahun 2009 ini, nyata bakal ibu muda ini punya matlamatnya yang tersendiri.

"Yang utama tentulah saya tak sabar nak jadi ibu dan saya berharap baby yang akan lahir ini sihat. Pada masa yang sama juga saya luangkan lebih banyak masa dengan keluarga," katanya.

Menurut pelakon berbintang Pisces ini dia juga mahu butik pakaian Dna CelebritiStyle, yang diusahakan bersama bersama pelakon, Awal Ashaari berjaya dan mendapat sambutan yang lebih daripada peminat-peminatnya.

"Ini adalah projek bersama saya dan Awal. Sudah lama sebenarnya kami menjalankan bisnes ini, tetapi kebiasaannya ia dibuat secara online. Butik hanya dibuka jika ada pelanggan yang membuat temujanji.

"Butik ini menjual pakaian dan aksesori moden, sesuai untuk mereka yang berumur 35 tahun ke bawah. Sambutannya setakat ini juga memang cukup baik.

"Sementara saya tidak aktif di dalam bidang lakonan buat sementara waktu, bolehlah saya beri tumpuan yang lebih pada bisnes ini.

"Bagi yang berminat untuk membeli atau mengetahui lanjut tentang butik ini, boleh layari blog saya di www.dynasmokhtar.blogspot.com atau menerusi laman web facebook di atas nama 'Dna CelebrityStyle',” katanya.

Bagi mengubat kerinduan peminatnya, Dynas bakal muncul dalam slot drama Lagenda, Jula Juli yang akan disiarkan pada bulan Februari depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain