suria

Keifli fikir dua kali lakon watak ‘pondan’

Keifli (depan, tengah) bersama para pelakon drama komedi ringan Berek semasa majlis pelancaran slot Senda Pagi TV3 semalam di Capital Studio, Kuala Lumpur. -foto The Star oleh RICKY LAI
Keifli (depan, tengah) bersama para pelakon drama komedi ringan Berek semasa majlis pelancaran slot Senda Pagi TV3 semalam di Capital Studio, Kuala Lumpur. -foto The Star oleh RICKY LAI
Keifli (depan, tengah) bersama para pelakon drama komedi ringan Berek semasa majlis pelancaran slot Senda Pagi TV3 semalam di Capital Studio, Kuala Lumpur. -foto The Star oleh RICKY LAI

BUKAN mudah untuk penyanyi dan pelakon Mohamed Zulkefli Mohamed Idir atau Keifli, 25, memberi persetujuan untuk melakonkan watak lelaki lembut atau ‘pondan’ menerusi drama rantaian, Berek.

Menurut Keifli, ini merupakan pertama kali dia memegang watak tersebut.

“Apabila mendapat tawaran daripada pengarah Adam Hamid, saya tidak terus memberikan persetujuan sebaliknya memikir dua kali sama ada saya betul-betul boleh membawa watak tersebut atau tidak.

“Namun, Adam kata kepada saya supaya jangan risau kerana dia boleh memberikan tunjuk ajar. Lagipun, saya tidak perlu ‘drag’,” jawab Keifli mengenai bagaimana beliau menerima tawaran lakonan tersebut.

Selepas melakonkan watak Erry, pelakon drama bersiri ‘Gaia 2’, ‘Loghat’ dan ‘Impian Laili’ ini berkata karektor lelaki lembut itu sememangnya memberikan cabaran dan pengalaman baru yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Di dalam drama ini, saya merupakan seorang anak polis yang berperwatakan lembut. Bapa saya memperkenalkan saya dengan seorang rakan sekerjanya di mana rakannya itu pernah juga melalui pengalaman yang sama seperti saya.

“Polis yang membantu saya itu dilakonkan oleh Fezrul Khan sebagai Rizman. Rizman memberikan semangat kepada Erry di mana dia pernah ‘drag’ dan melakukan lebih dari itu tetapi akhirnya dia boleh berubah.

“Ingin tahu sama ada saya akan berubah atau tidak, saksikan drama ini,” cerita Keifli mengenai sedikit-sebanyak info tentang drama komedi ringan itu.

Drama Berek akan dikeudarakan sebanyak 13 episod yang akan mula bersiaran pada 29 Januari ini, pukul 11 pagi di slot Senda Pagi TV3.

Berek memaparkan pergolakan kehidupan para isteri sekumpulan polis yang tinggal di berek polis yang terletak di kawasan perkampungan.

Pelbagai telatah lucu dan pengajaran yang diselitkan di dalam drama yang berkonsepkan masyarakat dan kekeluargaan ini.

Temui pelbagai watak menghiburkan yang turut dibintangi oleh Sharifah Shahira, Ani Mayuni, Hamidah Wahab, Norseha, Roy Azman, Riezman Khuzaimi, Kaza, Anne Abdullah dan Kapten Md. Nor Bon.

Tidak memilih kerja

Jika ada yang tahu, Keifli merupakan artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3).

Selepas AF3, Keifli dilihat tidak menggunakan bakat nyanyian dengan sepenuhnya malah dia telah menceburi bidang lakonan bagi mengisi karier seninya.

Kini, hala tuju Keifli bagaikan tidak menentu kerana selepas lebih tiga tahun, dia belum menunjukkan apa-apa pencapaian membanggakan di dalam bidang nyanyian.

Jelas anak jati Kuala Lumpur ini, dia sendiri tidak menetapkan hala tujunya di dalam industri hiburan ini sebaliknya melihat kepada rezeki.

“Saya tak memilih, mana yang datang dulu saya akan ambil. Setakat ini, saya masih boleh ‘survive’ di dalam industri ini,” kata Keifli yang sedang mengumpul sedikit demi sedikit aset untuk masa depan.

Selain itu, Keifli berkata dia sedang menguruskan perniagaan restoran Prapp Street yang dijalankan bersama keluarganya.

Restoran yang menawarkan masakan seperti Moi Sup, Nasi Ayam dan makanan Barat itu telah lama bertapak di Taman Sri Rampai, Setapak sejak tiga tahun lalu dengan kerjasama Persatuan Belia.

Masih kawan baik Marsha

Sejak AF3 berakhir, nama Keifli tidak putus-putus dikaitkan dengan penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh.

Apabila ditanya tentang hubungan mereka, Keifli lebih selesa mengatakan teman seperjuangannya di dalam AF3 itu merupakan rakan baiknya.

Bagaimanapun, Keifli enggan digosipkan sedang bercinta dengan Marsha kerana sehingga kini hubungan mereka masih berstatus ‘kawan baik’.

“Kami memang sangat rapat sejak tiga tahun lalu sehingga orang menganggap kami sedang bercinta. Sekarang ini, saya belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dengan mana-mana wanita termasuk Marsha memandangkan sibuk dengan kerja.

“Kalau boleh saya nak kahwin sebelum usia 30 tahun,” ulas Keifli yang turut menafikan tentang isu Marsha dikatakan mengandung dan telah menggugurkan janinnya.

Setelah gosip itu tersebar, semua orang menuding jari ke arah Keifli kerana dia merupakan satu-satunya jejaka yang rapat dengan Marsha.

“Isu Marsha mengandung dan menggugurkan janin tidak betul. Selepas mendengar gosip tersebut, saya tengok dia ‘steady’ sahaja dan tidak berkata apa-apa kepada saya,” ujar Keifli yang merancang untuk membuat album.

Namun disebabkan desakan keadaan ekonomi dan masalah cetak rompak, Keifli berkata rancangan tersebut belum dapat dilakukan.

Artikel Berikut

Artikel Lain