suria

Memey: “Kemesraan kami ‘bertempat’”

Memey mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalawat bersama Norman Hakim. Foto The Star Oleh: TEH ENG HOCK.
 Memey mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalawat bersama Norman Hakim. Foto The Star Oleh: TEH ENG HOCK.
Memey mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalawat bersama Norman Hakim. Foto The Star Oleh: TEH ENG HOCK.

GARA-GARA dilihat mesra ketika sesi sidang media selepas kedua-dua pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza menjalani prosiding kes khalwat mereka di Mahkamah Syariah Gombak Timur, semalam, Memey menganggap kemesraan yang terbit bukanlah disengajakan tetapi ‘bertempat’.

“Saya dan Norman tidak terlalu rapat. Mungkin tadi disebabkan kami ditemuramah berdua.

“Bukan bermakna saya rapat kerana sentiasa bersama dengan dia tetapi disebabkan ada urusan-urusan yang inginkan kami berbincang antara satu sama lain. Disebabkan kami saling mengenali takkan saya nak berdiam diri,” ujar Memey.

Ketika menjalani prosiding kes tersebut di dalam mahkamah, Norman mahupun Memey tidak mengaku bersalah atas tuduhan khalwat tersebut.

Disebabkan itu, perbicaraan lanjut akan dilakukan pada 3 Mac depan, pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, kedua-duanya dikehendaki membayar ‘denda’ mahkamah sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin yang bekerja sebagai kakitangan awam bagi mengelakkan mereka melarikan diri daripada perbicaraan kelak.

Apabila bertanya siapakah yang membayar ‘denda’ untuk dirinya, Memey dalam acuh tak acuh mengaku dia sendiri yang membayarnya.

Memey juga mengatakan yang dia dan Norman akan melantik seorang peguam bela kerana mereka mengaku tidak bersalah dalam kes khalwat pada 30 Oktober lalu di pejabat Norman, Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

“Setakat ini, kami belum tahu siapa lagi peguam itu dan masih mencari peguam yang boleh membela kami. Apa yang berlaku hari ini pun kami tak tahu apa-apa tentang prosedurnya.

“Saya ingatkan apabila kami mengatakan tidak mengaku, kami akan terus dilepaskan tetapi sebaliknya kami perlu membayar bon jaminan,” ujar Memey.

Menceritakan tentang perasaannya ketika berhadapan dengan kes perbicaraan semalam, Memey berkata debarannya kian memuncak memandangkan hari yang dinantikan telah tiba.

“Saya berasa berdebar kerana inilah hari yang saya nantikan. Kalau boleh saya tak nak berdepan dengan keadaan ini tetapi selagi saya tak lalui nak merasainya, selagi itu takkan ada satu perasaan yang tak lepas yang membuatkan saya akan rasa berdebar-debar.

“Apabila melaluinya hari ini (semalam), pelbagai perasaan takut dan risau timbul serta-merta kerana tidak tahu pengalaman dan situasi itu. Tetapi, Alhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar,” luah Memey.

Gadis berusia 22 tahun ini mengharapkan kes tersebut menemui jalan penghujungnya namun sebaliknya yang berlaku tidak menimbulkan sekelumit perasaan kecewa malah dia lebih tabah dalam mengharungi setiap perkara yang mendatang.

“Saya pun mengharapkan perkara ini segera selesai pada hari ini tetapi nampak gaya kes ini diperpanjangkan lagi. Jadi, kami perlu bersedia sahajalah.

“Kita perlu berdepan lagi dengan kes ini di mana saya perlu berhadapan dengan saat yang mendebarkan tetapi dalam masa yang saya saya mengharapkan yang terbaik dalam perbicaraan akan datang,” beritahu Memey yang turut mendapatkan nasihat daripada ibunya, Norlaila Abdul Rahman yang tidak dapat bersama-samanya semalam.

Kata Memey, pagi-pagi semalam ibunya telah menghubunginya dan menasihatkan supaya banyak bersabar dan bertenang untuk berhadapan dengan perbicaraan kes khalwat itu.

Walaupun ibunya tidak dapat hadir, Memey masih mampu mengumpul kekuatannya apabila ditemani oleh ibu saudara tersayang, Norlela Abdullah.

“Saya bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan dan sudah tentu saya mengharapkan suatu yang baik agar ia dapat diselesaikan,” kata Memey mengakhiri perbualan.

Dia juga memaklumkan sejak bersemuka dengan wartawan, ada juga pihak produksi yang menghubunginya untuk menawarkan lakonan dan bertanyakan khabar kepadanya.

Tambah Memey, dalam masa terdekat ini dia akan menjalani pengambaran drama Roda-Roda Kuala Lumpur dengan pengarah Datuk Yusof Haslam serta sebuah filem yang akan diberitahu nanti.

Artikel Sebelum

Ziana 'ubat' duka dengan Magica

Artikel Berikut

Artikel Lain