suria

Hati tersentuh bawa watak Lana

Fouziah makin ligat terima tawaran berlakon - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Fouziah makin ligat terima tawaran berlakon - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Fouziah makin ligat terima tawaran berlakon - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

PENGALAMAN membawakan watak kembar yang bercantum di bahagian kepala menerusi filem terbaru lakonannya, 2 Hati 1 Jiwa, sememangnya meninggalkan impak besar buat bintang jelita bernama Fouziah Gous ini.

Dapat merasai cabaran dan kesusahan yang dialami oleh golongan ini telah membuka mata pelakon berusia 26 tahun ini untuk lebih menghargai dan bersyukur dengan kesempurnaan fizikal yang dianugerahkan Tuhan buat dirinya.

Akui Fouziah, tatkala menghayati watak Lana di dalam filem terbaru arahan Prof. Madya A. Razak Mohaiden ini, dia terus membayangkan pahit getir hidup yang telah dilalui oleh pasangan kembar Iran, Ladan dan Laleh Bijani yang meninggal dunia pada tahun 2003 setelah menjalani pembedahan memisahkan cantuman di kepala mereka di Hospital Raffles, Singapura.

Malah, berdasarkan kisah tragis itulah sebenarnya yang memberi inspirasi buat Razak untuk menghasilkan filem 2 Hati 1 Jiwa agar masyarakat dapat menyaksikan sendiri cabaran kehidupan pasangan kembar tersebut.

Bergandingan bersama Yasmin Hani yang membawakan watak pasangan kembarnya bernama Lina, tutur Fouziah, banyak pengalaman yang telah dikutip oleh mereka sejak bermulanya penggambaran sehinggalah tamat.

Malah, kata pelakon, pengacara dan model ini, kesakitan yang ditanggung oleh mereka ketika proses solekan khas bagi mencantumkan kepala yang memakan masa lebih kurang tiga jam sebelum bermulanya penggambaran itu memang cukup mencabar dirinya.

Namun, sokongan yang ditunjukkan oleh pengarah dan krew produksi serta memikirkan kepercayaan yang diberikan terhadap dirinya untuk memegang watak tersebut membuatkan Fouziah adakalanya lupa tentang kesakitan yang dilalui.

"Proses cantuman itu bukan mudah. Mungkin kelak penonton akan lihat cantuman di kepala tu macam nampak mudah, tetapi prosesnya cukup rumit. Bayangkan betapa sukarnya untuk saya dan Hani bergerak ke mana-mana ketika cantuman tersebut.

"Sehinggakan jika salah seorang daripada kami ingin ke tandas, kedua-dua sekali kena masuk. Pada awalnya, memanglah kami jadi kekok. Tetapi inilah cabaran dan satu pengalaman bermakna buat kami.

"Tertekan juga di awal penggambaran dulu. Tapi lama-kelamaan kami sudah boleh biasakan diri atas bantuan pengarah dan semua krew yang terlibat," ujar Fouziah menceritakan pengalamannya di set 2 Hati 1 Jiwa.

Bercerita lanjut tentang filem tersebut, kata Fouziah, selain karektornya yang cukup berbeza berbanding watak-wataknya sebelum ini, filem ini juga mempunyai jalan cerita yang menarik meskipun ia mempunyai sedikit persamaan dengan kisah pasangan kembar Iran itu.

"Filem ini masih ada elemen komedi dan sedih. Karektor saya pula menggambarkan seorang gadis yang ceria dan bersifat childish berbanding watak Lina lakonan Hani yang mana kami berdua mempunyai minat yang berbeza.

"Setelah 20 tahun, kami berjaya dipisahkan menerusi pembedahan tetapi akan ada konflik selepas itu dimana kami akan jatuh cinta pada doktor yang terlibat dengan pembedahan tersebut.

"Walaupun watak mencabar, tetapi saya memang cukup seronok berlakon di dalam filem ini," kata anak jati Kuala Lumpur ini yang akan sibuk dengan aktiviti promosi filem Sifu dan Tonga bulan hadapan.

Jadi 'gadis pembuka kotak' Roda Impian musim baru

Mengulas mengenai projek terbarunya selepas ini, kata Fouziah, selain sibuk dengan penggambaran drama bersiri Spa Q musim kedua, dia juga bakal menjayakan program Roda Impian musim terbaru yang akan ditayangkan di TV3 berkemungkinan pada bulan depan.

Menariknya, kali ini, Fouziah bukan menjadi 'gadis pembuka kotak' seperti yang pernah dilakukan oleh aktres jelita, Eja dulu, tetapi sesuai dengan kemodenan teknologi masa kini, ia ditukar kepada 'touch screen' atau skrin sentuh.

"Ramai yang tanya saya, kenapa saya terima tawaran ini. Sejujurnya, ia adalah tawaran yang agak besar buat saya. The offer is good dan saya rasa tidak salah untuk saya terima.

"Lagipun, pihak produksinya iaitu Karya Nusa tidak menghalang saya untuk buat kerja lain juga pada masa yang sama. Rakamannya akan bermula dalam masa terdekat ini sebanyak 65 episod dan akan dihoskan oleh Kieran," katanya.

Mahu jauh dari kontroversi

Seligat perjalanan seninya tahun lalu, Pelakon Harapan Wanita Popular Anugerah Skrin 2007 ini juga tidak terlepas dengan kontroversi yang pernah mengaitkan dirinya dengan VIP.

Meskipun begitu, Fouziah tidak pernah lemah semangat. Walaupun dihambat dengan gosip liar seperti itu, anak bongsu daripada lima beradik ini tetap memastikan karier seninya berkembang.

Buktinya, Fouziah dilihat antara bintang baru yang cukup menyerlah di persada seni apabila dia menjadi antara aktres yang cukup 'laku' di kalangan produser drama dan filem.

"Kontroversi seperti itu memang memberikan tekanan kepada saya pada awalnya. Mungkin kerana saya masih baru di dalam bidang ini ketika itu. Tetapi setelah saya berfikir semula, saya bersyukur kerana kontroversi yang datang itu tidaklah sampai menjejaskan kehidupan saya.

"Saya sedar, sebagai anak seni, gosip akan datang dan pergi. Saya ambil semua itu dari sudut positif asalkan ia tidak menjatuhkan saya.

"Alhamdulillah, tahun 2009 ini nampaknya rezeki saya masih tidak putus-putus. Terlalu banyak tawaran yang datang sehinggakan saya tidak tahu untuk pilih yang mana.

"Saya tidak mahu dilihat tamak. Jadi, walau apa saja tawaran yang datang, saya kena fikir sedalam-dalamnya dan perlu juga melihat kesesuaian watak," tutur Fouziah.

Artikel Sebelum

Umie: Susah cari lelaki serasi!

Artikel Berikut

Artikel Lain