suria

KPKKW labur hampir RM500,000 untuk pemuzik tempatan

EKORAN masalah yang dihadapi oleh pemuzik tempatan yang berkhidmat di hotel dan kelab, Kementerian Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan melaburkan perbelanjaan sebanyak RM470,000.

Pelaburan itu akan digunakan untuk mengadakan satu sesi taklimat Program Akreditasi melibatkan pemuzik hotel dan kelab di bawah kelolaan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Program tersebut akan diadakan pada 6 Januari depan di bilik Johor Kedah, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Karyawan merupakan sebuah persatuan yang agak lantang memperjuangkan nasib para pemuzik hotel dan kelab dan kini hampir 800 ahli persatuan adalah terdiri dari golongan ini.

“Pelbagai masalah dihadapi oleh mereka seperti kebanjiran pemuzik-pemuzik dari luar negara yang menguasai hotel dan kelab tempatan sehingga menutup ruang pencarian rezeki mereka.

“Gambaran buruk diberikan kepada para pemuzik tempatan oleh sesetengah para pengusaha hotel dan kelab untuk tidak mengambil mereka.

“Misalnya pertikaian tentang kualiti, disiplin dan sebagainya namun sebenarnya yang menjadi punca mereka mengambil pemuzik luar ialah kos harga yang murah yang sekaligus menjejaskan peluang artis tempatan,” luah Ketua Eksekutif Freddie Fernandez dalam kenyataannya dalam satu sidang media di pejabat Karyawan, Petaling Jaya, semalam.

Menurut Freddie, demi mengatasi masalah tersebut, Karyawan akan menyediakan modul pembelajaran antaranya mengenai sejarah dan gaya muzik di persada seni, teori dan pengetahuan ilmu, teknologi yang digunakan dalam persembahan, apresiasi dan komunikasi dengan penonton, kemahiran menari dan koreografi, teknik vokal nyanyian, harmonik dan persembahan, watak yang harus dibawa dalam persembahan, imej dan personaliti serta aspek lain yang menyentuh tentang kreativiti.

“Penyertaan ini dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menubuhkan kumpulan untuk membuat persembahan dan mereka boleh mendaftar pada 6 Januari nanti.

“Selepas menjalani program ini, kita akan membuat sesi latihan dan penilaian seterusnya. Mereka akan diberikan sijil yang mempunyai tiga gred iaitu A, B dan C.

“Terdapat kumpulan pensyarah dan jurulatih yang akan melatih peserta selama tujuh hingga lapan hari jika peserta memerlukan latihan.

“Kita juga akan lanjutkan lagi program ini jika terdapat permintaan. Mungkin kita akan buat di luar Kuala Lumpur seperti di Melaka manakala tahun depan kita merancang untuk membuka cawangan di Pulau Pinang pula,” kata Freddie.

Dalam pada itu, salah seorang pensyarah muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Yusoff Ibrahim berkata dia mengakui kelemahan pemuzik tempatan yang kurang ilmu pengetahuan muzik.

“Cara pemuzik tempatan mempraktikkan muzik berbeza dengan pemuzik dari Indonesia dan Filipina.

“Mereka tertinggal beratus tapak daripada pemuzik luar. Budaya pemuzik luar bermula dari kecil di mana mereka menganggap muzik sebagai sumber pendapatan namun orang kita membudayakan muzik sebagai hobi dan tiada istilah serius dalam budaya kita sendiri.

“Misalnya, ketika saya mengajar di Aswara sekarang dan juga di Kolej Antarabangsa Muzik (ICOM) sebelum ini, saya lihat tahap pencapaian pelajar muzik agak rendah. Mereka mempunyai bakat besar tetapi pembelajaran kosong.

“Jadi, kita cuba untuk naikkan taraf pemuzik kita melalui akreditasi. Bukan sahaja tahap muzik, malah mereka juga akan diajar untuk berpakaian yang ‘presentable’, bergelar penyanyi yang profesional, menghiburkan dan petah berkata-kata,” kata Yusoff yang juga bertindak selaku salah seorang tenaga pengajar dalam program ini.

Selain Yusoff, penyanyi Salwa Abdul Rahman yang turut hadir dalam sidang media tersebut akan menjadi tenaga pengajar tentang selok-belok personaliti. Sementara pelakon Kairil Khamis pula akan memberi penerangan tentang persembahan dan cara berkomunikasi dengan penonton.

Melalui program Akreditasi, setiap kumpulan atau artis kelab boleh mendapatkan lesen untuk mengadakan persembahan di hotel-hotel dan kelab.

Program ini telah dilancarkan oleh Menteri KPKKW Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 18 Disember lalu di PWTC.

Semasa majlis penerangan ini diadakan pada 6 Januari depan, pihak Karyawan bakal turut menjemput Timbalan Ketua Setiausaha KPKKW Datuk Mohammed Mohd. Daud di mana para artis kelab dan hotel boleh bertanya secara terus tentang segala aspek berhubung dengan program ini seperti bagaimana, bila ataupun segala kemusykilan berkaitan dengan program ini.

Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah menghadirkan diri pada 6 Januari depan di bilik Johor Kedah, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Segala penyertaan adalah percuma.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain