suria

Penceraian Abby-Norman tidak jejaskan imej Gerak Khas, kata Yusof Haslam

Penceraian Abby-Norman dapat liputan meluas daripada pihak media.
Penceraian Abby-Norman dapat liputan meluas daripada pihak media.
Penceraian Abby-Norman dapat liputan meluas daripada pihak media.

"Penceraian Abby-Norman tidak akan jejaskan imej Gerak Khas," kata penerbit drama kepolisian, Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penceraian Abby dan Norman Hakim semalam.

Pasangan pelakon tersebut bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur semalam.

"Saya lihat apa yang terjadi sebagai masalah peribadi dan mereka tidak lakukan sebarang jenayah.

"Bagi saya sesebuah drama itu bergantung kepada jalan cerita dan tidak timbul isu terjejas dengan masalah remeh-temeh seperti ini," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.

Tegas Yusof,apa yang berlaku itu merupakan cabaran kepadanya selaku penerbit drama bersiri Gerak Khas yang kini sudah masuk ke musim yang ke-10 dan masih mampu mengekalkan rating yang baik di TV1.

Sebagai orang tua, Yusof berkata beliau sudah banyak kali menasihati kedua-dua pelakon terbabit yang dianggap seperti 'anaknya sendiri'.

"Saya sudah banyak kali menasihati mereka. Saya cakap jika boleh mereka pertahankan rumah tangga itu, pertahankanlah. Jika tidak selesaikanlah dengan cara elok," ujarnya yang juga pemilik syarikat penerbitan Skop Production Sdn Bhd.

Beliau pada masa yang sama meminta semua pihak jangan menunding jari kepada mana-mana pihak selepas apa yang terjadi dalam rumah tangga Abby dan Norman.

"Kita tak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka. Ini soal dalam kelambu, saya harap semua pihak tidak boleh hentam Norman sahaja.

"Mungkin Abby juga ada salah kita tak tahu? Apa yang saya harap kita jangan menunding jari kepada sesiapa dalam hal ini," ujarnya yang pernah digelar 'Six Dollar Man' kerana kejayaan filem Sembililu II arahannya berjaya memecah kutipan box-office dengan memungut RM6 juta ringgit.

Menyorot kepada kes penceraian Abby-Norman, ianya bermula dengan kes tangkapan khalwat Norman dan Memey pada 30 Oktober lalu. Insiden ini menyebabkan hubungan Norman dan Abby menjadi keruh sehingga meretakkan rumah tangga mereka.

Norman dan Memey ditahan khalwat jam 2 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana.

Jelas Yusof, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kedua-dua pelakon itu adalah dengan kedua-duanya menerima apa yang berlaku itu sebagai takdir yang telah tertulis.

"Mereka perlu terima ini sebagai qada dan qadar dan hadapi dengan tenang ujian daripada Allah S.W.T," katanya yang kini turut menerbitkan drama Roda-roda Kuala Lumpur, drama yang berkisarkan tentang kehidupan polis trafik.

Menurut Yusof bagi meredakan masalah rumah tangga yang berlaku, Norman telah direhatkan selama tiga bulan bermula pada bulan Januari sehingga Mac depan.

"Saya telahpun rehatkan Norman untuk biar keadaan semua reda, dia pun dapat tenangkan diri.

Menurut penerbit jutawan ini, beliau belum terfikir untuk mengambil pelakon lain bagi menggantikan Norman memandangkan pelakon itu masih dalam tempoh 'bercuti'.

Tambah beliau, selepas bulan Mac tahun depan, barulah pihaknya akan menentukan status Norman dalam Gerak Khas dan pada ketika ini ini dia masih pelakon dalam drama tersebut.

Selain itu, Yusof juga memberitahu, setiap pelakon yang memegang watak sebagai anggota polis dalam drama berkenaan perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa Bukit Aman.

"Kita tidak boleh suka-suka ambil pelakon untuk gantikan pelakon lain dalam Gerak Khas semua kena dapat persetujuan daripada polis di Bukit Aman," katanya.

Yusof berkata kehadiran pendatang baru Zulkifli yang kini digosipkan dengan Abby dalam Gerak Khas sebagai memberi kelainan kepada jalan cerita drama bersiri itu.

"Saya ambilnya (Zulkifli) pun selepas cadangan Abby. Memang dari semasa ke semasa kita kena tampilkan muka baru dan sebelum ini pun kita selalu ambil muka baru berlakon, tidak jadi hal.

"Saya ambillah dia, tetapi watak biasa-biasa saja, bukan utama. Saya juga ingin tegaskan sekali lagi, Zulkifli bukan pengganti Norman dan dia hanya pegang watak kecil saja," katanya lagi.

Skop Production sebelum ini diberitakan 'menamatkan' kontrak Norman Hakim dengan drama bersiri berkenaan buat sementara waktu bagi memberi ruang kepadanya untuk menyelesaikan masalah peribadi.

Sementara itu, pelakon Abby Abadi akan kembali berlakon dalam drama bersiri Gerak Khas pada bulan Januari depan selepas dia direhatkan selama tiga bulan kerana pergolakan masalah rumah tangganya sejak Oktober lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain