suria

Rich-Velvet 'rahsiakan' perkahwinan kerana pentingkan hubungan ‘suci’

Rich dan Velvet berjaya menyembunyikan hubungan cinta mereka dari pengetahuan ramai.
Rich dan Velvet berjaya menyembunyikan hubungan cinta mereka dari pengetahuan ramai.
Rich dan Velvet berjaya menyembunyikan hubungan cinta mereka dari pengetahuan ramai.

TIADA sebab yang paling kukuh melainkan demi menjaga ‘kesucian’ hubungan antara vokalis Estranged, Rich dan isterinya, Velvet sehingga mereka nekad merahsiakan majlis perkahwinan yang berlangsung pada 5 Disember lalu di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Kota Kinabalu, Sabah.

Alasan tersebut sekaligus menepis dakwaan yang mengatakan pasangan ini terpaksa merahsiakan majlis perkahwinan mereka kerana permintaan keluarga.

Jelas Rich atau nama sebenarnya Richael L.Limbang, 26, mereka bukan tidak akan memberitahu langsung tentang perkahwinan tersebut sebaliknya menegaskan akan menjelaskan hal tersebut selepas mereka selesai mengadakan majlis tersebut.

“Sebelum itu, kami ingin meminta maaf kepada semua terutama para wartawan kerana tidak dapat menjemput ke majlis perkahwinan kami.

“Sebagai artis, saya tahu yang saya perlu memberitahu media tentang hal ini.

“Sebelum majlis tersebut dilangsungkan, saya dan Velvet ada berbincang bahawa kami akan mengadakan majlis yang kecil sahaja untuk keluarga dan sanak-saudara kami di Sabah.

“Tetapi, kami juga telah memutuskan untuk memberitahu kepada semua orang selepas majlis tersebut selesai,” ujar Rich ketika ditemui di pertandingan Muzik-Muzik Separuh Akhir bagi kategori Pop Rock di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Rich, ekoran perkahwinan ‘rahsia’ tersebut, dia dan Velvet atau Velvet Lawrence Aduk diboikot oleh sesetengah rakan media di Sabah.

“Kebanyakan wartawan di Sabah tahu berita ini tetapi saya telah memberitahu mereka untuk membuat liputan tentang perkahwinan kami selepas majlis tersebut selesai.

“Tetapi, tidak kurang ada juga media yang memboikot kami. Saya harap wartawan yang tidak mengenali saya dan Velvet agar dapat menerima alasan kami yang terpaksa berahsia untuk menjaga hubungan ‘suci’ ini.

“Jadi, kami meminta maaf sebab tak dapat menjemput,” ulas Rich yang turut menyangkal dakwaan mereka merahsiakan perkahwinan tersebut kerana Velvet dikatakan telah mengandung.

Berkongsi tentang istimewanya Velvet dipilih sebagai isterinya, jujurnya Rich mengatakan wanita berusia 21 tahun itu amat istimewa dan merupakan wanita yang lain dari yang lain.

“Velvet sangat istimewa di mata saya. Saya juga memilihnya kerana saya belum pernah menemui sahabat baik sepertinya.

“Dia juga ibarat cinta pandang pertama saya kerana sejak memasuki AF4, saya sudah senang berkawan dengannya,” luah Rich yang mendendangkan lagu My Destiny secara duet bersama Velvet semasa majlis perkahwinan yang menghimpunkan kira-kira 1,000 orang tetamu itu.

Rich berkata dia dan ahli kumpulan Estranged yang dianggotai oleh Andy, Hanafi dan Din turut membuat persembahan lagu Aurora yang sedang hangat di corong radio sekarang dan Itu Kamu yang pernah memenangi Juara Lagu dan kategori Pop Rock dalam Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22).

Selain ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak, rakan-rakan AF seperti Marsha dan Farhan turut menyerikan majlis itu.

Kata Rich, dia dan Velvet terlebih dahulu menjalinkan hubungan yang intim sejak menyertai Akademi Fantasia musim keempat (AF4).

Mengimbas kisah cinta pasangan ini, mereka digosipkan bersama sejak sama-sama berjuang di AF4 kira-kira tiga tahun lalu.

Rich tidak lekang diusik oleh pengacara AF ketika itu, Aznil Nawawi yang sentiasa mengaitkan dirinya dengan Velvet berdasarkan keakraban yang dilihat di antara mereka menerusi program Diari AF.

Malah, sehingga berakhirnya AF4, masing-masing sering menafikan hubungan mereka lebih daripada seorang sahabat apabila setiap kali persoalan itu diajukan oleh wartawan.

Selepas tiga tahun menyulam kasih, ujar Rich, dia mula serius untuk memperisterikan Velvet sejak awal tahun lalu dan berjumpa dengan keluarga Velvet.

Seterusnya, Rich melamar Velvet dan mula memikirkan untuk melangsungkan perkahwinan selepas AJL22 pada awal tahun ini.

Mengimbas kembali perkahwinan ‘rahsia’ mereka, ia mungkin gagal dihidu oleh media apatah lagi kedua-duanya sebelum ini memang sentiasa mengunci mulut tentang hubungan mereka, meskipun tidak lama dulu kisah pertunangan dua bintang AF ini sudah dipaparkan di beberapa media tempatan.

Pasangan ‘low profile’ ini sememangnya tidak gemar menjaja kisah cinta mereka dan seringkali apabila status hubungan mereka ditanya oleh wartawan, Rich mahupun Velvet lebih senang mengelak.

Velvet dan Rich menjadi pasangan kedua AF yang berjaya menyatukan cinta mereka dengan ikatan perkahwinan setelah dua bintang AF musim pertama iaitu Khai dan Rosma selamat dinikahkan sekitar April lalu.

Artikel Lain