suria

Linda ambil masa singkat terima lamaran Que

Linda Jasmin ambil masa yang singkat menerima lamaran Que.
 Linda Jasmin ambil masa yang singkat menerima lamaran Que.
Linda Jasmin ambil masa yang singkat menerima lamaran Que.

LAMARAN aktor Que Haidar terhadap jurutari profesional Linda Jasmine Hashim telah dimeterai pada Ogos lalu, tetapi baru sekarang pasangan kekasih ini bersedia untuk mengumumkan hubungan cinta mereka kepada khalayak setelah mencapai kata putus untuk bernikah pada 14 Februari 2009.

Setelah hampir enam tahun berkenalan, akhirnya Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 29 berani melamar Linda, 36 seterusnya membawa wanita pujaan pulang ke kampungnya di Felda Taib Andak untuk bertemu dengan keluarganya pada 3 Oktober lalu.

Diaju soalan mengapa mereka suka menyembunyikan status hubungan apabila ditanya oleh media, Linda menjawab:

“Kami tak sorok langsung dan seperti yang saya cakapkan sebelum ini, saya mempunyai komitmen dengan kerja dan perlu profesional.

“Lagipun, majlis perkahwinan ini bukan hanya melibatkan kami berdua tetapi turut melibatkan orang lain. Saya rasa sekarang barulah sampai masa yang terbaik untuk kami bercerita tentang hal ini.”

Dalam masa yang sama, Que tidak menganggap penyebaran video dia dan Linda yang tersebar di internet menyebabkan dia membuat keputusan untuk mengumumkan tentang perkahwinan tersebut.

“Bukan sebab penyebaran video itu yang membuatkan kami membuat keputusan untuk membuat pengumuman mengenai perkahwinan ini.

“Semasa saya melihat video itu, saya hanya tergelak sahaja. Apa yang membuatkan kami bersedia untuk mengumumkan hal ini sebab ia berita yang baik tentang kahwin dan patut diuar-uarkan.

“Perkahwinan kami akan menjelang tidak lama lagi iaitu 14 Februari, Insya-Allah. Jadi, mungkin sudah tiba masanya kami membuat pengumuman ini serta berkongsi kegembiraan kami,” jelas Que di samping Linda ketika ditemubual secara langsung dalam rancangan Gala TV oleh Astro Awani (saluran 501), semalam.

Dalam program tersebut, pasangan ini mendedahkan rahsia hubungan mereka dan sedikit perancangan dan persediaan perkahwinan yang telah dilakukan.

Linda lebih memilih untuk mendengar manakala Que pula lebih banyak bersuara dalam temubual selama 30 minit itu dan kadangkala kedua-duanya saling senyum melirik.

Walaupun kadangkala kedua-duanya ada menunjukkan sikap ‘tarik tali’ ketika menjawab soalan, namun masing-masing memberikan kerjasama yang baik dan lebih bersikap terbuka untuk merungkai segala-galanya.

Que tanpa segan-silu menceritakan tentang bagaimana dia melamar Linda ketika seminggu sebelum bulan puasa tahun ini.

“Saya tanya kepada Linda sama ada nak kahwin tak? Selepas itu, dia jawab, nak dan seterusnya bertanya kahwin dengan siapa? Saya cakaplah, kahwin dengan saya.

“Kemudian, dia terdiam sejenak dan akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan saya. Dalam masa yang sama, Linda juga menduga saya dan berkata kahwin ni tak boleh main-main.

“Saya terus berjanji untuk bernikah dengannya dalam masa terdekat ini.

“Seterusnya, kami terus berbincang tentang tarikh pernikahan dan sedikit-sebanyak tentang perkahwinan semasa bulan puasa lalu,” ujar Que dalam nada ceria.

Que berkata dia memilih tarikh 14 Februari kerana tarikh tersebut bagaikan tarikh keramat untuk dia meraikan cinta bersama Linda dengan ikatan pernikahan yang suci.

“Pada 14 Februari, orang akan kaitkan dengan ‘Hari Valentine’ dan biasanya setiap pasangan yang bercinta akan keluar makan malam tetapi pada hari itu saya nak raikan dengan Linda dengan upacara akad nikah,” katanya.

Semasa majlis pernikahan yang akan diadakan di Ampang, tiada wang hantaran sebaliknya Que hanya akan memberi hantaran berupa sejumlah mas kahwin, sebentuk cincin dan senaskhah al-quran kepada linda manakala Linda akan membalas dengan sebentuk cincin kepada Que.

Selepas itu, majlis resepsi perkahwinan mereka akan berlangsung pada 15 Mac tahun depan di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

Jika begitu, ini merupakan perkahwinan kedua artis dalam masa terdekat di Felda Taib Andak selepas perkahwinan penyanyi Asmawi Ani dan Nora’Ashikin Rahmat yang diijabkabulkan pada 20 Disember depan.

Kata Linda, mereka merancang untuk membuat majlis tersebut berkonsepkan ‘garden wedding’. Menurut Que, dia memilih Linda sebagai isterinya kerana ibu tunggal kepada Qalif Khan ini bersikap matang, menerima kelebihan dan kekurangan dirinya serta membuatkan hatinya berasa tenang.

“Antara kami memang banyak perbezaannya. Misalnya, saya merupakan orang kampung yang datang dari felda manakala dia pula orang bandar. Tetapi, kadangkala ada perkara yang dia lakukan turut disukai oleh saya,” tambah Que yang membahasakan dirinya ‘Uncle’ kepada Qalif.

Sementara Linda pula tertarik dengan ketabahan hati Que menerima dirinya yang cerewet.

“Kadangkala, Que ada membuat sesuatu yang saya tak sangka dan perkara itu membuatkan hati saya gembira tetapi mungkin dia tak perasan,” tutur Linda.

Jelas Linda, sesungguhnya dia tidak mengetahui yang Que akan membuat pengumuman tentang perkahwinan mereka semasa menghadiri program Sehati Berdansa pada Khamis lalu.

“Saya tak tahu yang dia akan membuat pengumuman tersebut tetapi tak mengapa. Ianya berlaku secara semulajadi dan bagi saya tidak menjadi masalah,” begitulah luahan hati Linda.

Ujar Linda, dia mengagumi anaknya, Qalif, 8, yang tidak pernah mendatangkan masalah kepada hubungannya dengan Que.

“Sebelum saya beritahu Qalif, dia dah tahu yang saya akan berkahwin dengan Que. Dia pandai dan tahu semua tentang Que. Saya tak pernah beritahunya tetapi dia yang tahu sendiri,” katanya.

Kisah cinta Que dan Linda mula dihebohkan sejak beberapa bulan lalu selepas gosip mereka tersebar di internet.

Disebabkan gosip tersebut, Linda berkata dia sentiasa dikejar oleh media untuk mendapatkan pengesahan daripada mulutnya.

“Pada mulanya, saya tak faham kenapa media terlalu suka mengejar saya dan menganggap cerita ini besar sangat. Lagipun saya tidak biasa berhadapan dengan situasi tersebut,” ulasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain