suria

Sarimah pula bakal sertai Era FM

SETELAH 'populariti' stesen radio swasta ini dikatakan mengalami penurunan akibat saingan daripada sebuah lagi stesen radio yang cukup 'hangat' ketika ini, Era FM dilihat mula mengatur pelbagai agenda tersendiri untuk menarik semula pendengar-pendengarnya dan pada masa yang sama terus mengekalkan yang sedia ada.

Tambahan pula dengan pengunduran bekas penyampainya, Kieran pada Oktober lalu yang kini bertugas pula di Hot FM, ia sedikit sebanyak telah mengundang banyak spekulasi dan andaian tentang stesen radio swasta itu.

Terbaru, dua orang penyampai baru, Cham dan Burn (X Fresh) telah pun menyertai stesen tersebut.

Dan dikatakan, pengacara popular Sarimah Ibrahim juga telah 'dilamar' untuk menjadi salah seorang penyampai radio stesen itu menyertai barisan penyampai yang lain seperti Linda Onn, Aznil Nawawi, Nana, Adi dan Reza.

Meskipun tiada sebarang pengesahan dibuat lagi oleh pihak Era FM, namun khabar angin mengatakan pengacara kelahiran Dublin, Ireland itu berkemungkinan akan sertai Era mula bertiup sebaik program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) melabuhkan tirainya Mei lalu.

Sehinggalah baru-baru ini cerita tersebut kembali hangat diperkatakan.

"Saya memang ada mendengar tentang khabar angin itu dan saya tidak tahu dari mana cerita ini timbul.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan di sini, banyak perkara yang saya perlu fikirkan andai kata saya ditawarkan sebagai penyampai radio memandangkan saya juga perlu mengambilkira tanggungjawab saya sebagai seorang penuntut kolej," ujar Sarimah, enggan mengulas lanjut.

Menurut wanita berusia 30 tahun ini, sejujurnya dia turut mempunyai minat untuk bergelar penyampai radio, tetapi tegasnya, semua itu perlu difikirkan secara mendalam.

Malah, ada juga perkhabaran lain yang mengatakan Sarimah juga sebenarnya turut 'diintai' oleh beberapa stesen yang lain termasuklah stesen radio berbahasa Inggeris.

"Ramai juga peminat yang ada menyuarakan kepada saya untuk cuba sebagai penyampai radio. Saya juga memang berminat, cuma seperti yang saya katakan tadi, saya kena fikir banyak perkara terlebih dulu terutamanya dari segi masa.

"Saya pun tidak mahu terima tawaran macam tu saja...Tidak kiralah dari mana pun tawaran yang saya dapat, kalau boleh saya inginkan corak penyampaian saya itu ada kelainan," katanya.

Bagi Sarimah, jika diberi peluang menjadi penyampai radio dan memilih sendiri segmen bagaimana yang ingin dikendalinya, dia berharap dapat membuat sebuah segmen yang berkaitan dengan psikologi.

"Seronok juga kalau saya dapat buat satu segmen yang ada kaitan dengan kursus pengajian psikologi yang saya ambil.

"Mungkin ia sesuai pada waktu tengah malam di mana remaja atau mereka yang bermasalah boleh telefon dan ceritakan tentang masalah mereka.

"Memang bagi sesetengah orang akan rasakan segmen seperti ini agak ketinggalan zaman, tetapi bagi saya ia menyeronokkan. Lebih seronok jika berpeluang jadi penyampai radio yang perlu bertutur dalam dwibahasa, Bahasa Melayu dan Inggeris. Mesti menarik kan?" kata Sarimah dalam nada ceria.

Sambil mengalih topik kepada perkembangan kariernya kini, tutur Sarimah, dia akan memulakan rakaman untuk musim ketiga program Fail Sulit pada minggu hadapan.

"Apa yang menariknya musim baru ini, judul program ini akan ditukar kepada 'Katanya...', bukan lagi Fail Sulit. Tiada lagi karektor Kak Mah Gali, malah sejak musim kedua Fail Sulit lagi saya memang sudah tidak gunakan karektor tersebut.

"Cuma mungkin orang terbiasa panggil saya Kak Mah sejak musim pertama program ini, jadi terus lekat nama tersebut," katanya.

Kembali untuk AF7

Sama ada AC Mizal sekali lagi akan menjadi hos AF7 dan mengekalkan Sarimah sebagai pengacara Diari AF masih lagi belum diumumkan oleh pihak Astro.

Sejak AF6 berakhir Mei lalu, pelbagai andaian turut dibuat sama ada musim terbaru AF7 akan mengekalkan pengacara yang sama atau mungkin juga Aznil Nawawi akan kembali mengendalikan program tersebut.

Begitu juga dengan 'status' Sarimah di dalam program itu. Namun, menurut sumber, Sarimah dan pengacara AF6, AC Mizal telah pun merakamkan promo untuk musim ketujuh AF, kelmarin di Astro.

Mungkinkah itu bermaksud kedua-duanya masih kekal untuk musim terbaru yang bakal bermula awal tahun depan?

Mengakui tentang rakaman itu, namun kata Sarimah, dia sendiri tidak pasti tentang keputusan Astro sama ada akan mengekalkannya atau pun tidak.

"Saya tidak tahu, semuanya terpulang kepada Astro. Mungkin juga saya akan terus kendalikan Diari AF, mungkin juga tidak. Begitu juga dengan AC.

"Buat masa ini, saya hanya ingin fokus kepada program baru Fail Sulit. Terpulanglah apa saja keputusan Astro kelak," tuturnya ringkas.

Sarimah juga bakal menggalas tugas sebagai hos pada malam kemuncak Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2008) yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 November ini.

"Jika tahun lalu saya bersama Gurmit Singh, tetapi kali ini saya seorang diri yang akan menghoskan majlis tersebut. Gementar juga sebenarnya apatah lagi saya akan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Inggeris untuk acara itu.

"Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan at least, saya akan buktikan kepada orang luar bahawa rakyat Malaysia juga boleh bertutur di dalam Bahasa Inggeris," kata Sarimah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bienda mula langkah baru

Artikel Lain