suria

Proses tuntut nafkah Wan Nor Azlin tertangguh suami tidak hadir

PETALING JAYA: Ekoran suami pelakon Wan Nor Azlin, 40 tidak menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini, maka proses Sulh (perundingan) mengenai tuntutan nafkah yang difailkan gagal dibicarakan hari ini.

(Proses Sulh ialah satu perundingan damai atau kaunselling secara Islam yang dianjurkan bagi pasangan yang mempunyai masalah rumahtangga).

Pada pukul 9.15 pagi tadi, Azlin yang sebelum ini menerima ugutan daripada 'ah long' termasuk rumahnya disimbah cat, telah berkunjung ke Mahkamah Syariah di Petaling Jaya untuk bincang dengan pihak mahkamah di Dewan Sulh selama sejam 45 minit.

Menurut peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan, hasil perbincangan tersebut, mahkamah menetapkan kes tersebut akan di bawa kepada 15 Disember ini, di mana prosiding tuntutan nafkah akan diteruskan.

Kata Fakhrul, disebabkan suami Azlin gagal menghadirkan diri, mahkamah juga akan mengeluarkan saman kepada Yazli pada bila-bila masa mulai hari ini melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan keluarganya di Batu Gajah, Perak.

"Jika suaminya gagal menghadirkan diri sekali lagi pada 15 Disember ini, pukul 2 petang di mahkamah ini, kita akan berikan dua pilihan kepadanya. Sama ada meneruskan perbicaraan ini tanpa suaminya atau keluarkan waran tangkap untuk dia datang pada hari itu juga.

"Kalau pihak mahkamah tak dapat bawa dia secara peribadi, kami akan melakukan serahan gantian seperti mengiklankan dirinya di akhbar-akhbar dan serata tempat," jelas Fakhrul.

Dalam pada itu, Azlin berkata, dia menjangkakan suaminya akan memberikan respons dan hadirkan diri pada hari ini selepas dia menghantar surat kepada PPIM dan keluarga suami di Perak.

"Saya hantar surat kepada PPIM pada 30 Oktober lalu tetapi mereka tidak mahu menerimanya apabila mengetahui surat itu dari mahkamah. Kata mereka, kalau surat peribadi, suami saya mahu menerimanya.

"Surat di kampung juga dihantar tetapi dihantar semula ke mahkamah pada minggu lalu dengan mengatakan suami saya tidak dapat hadir kerana keluarganya tidak dapat menghubunginya," tutur Azlin lagi.

Dalam nada yang tenang, Azlin masih mengharapkan suaminya kembali ke sisinya dan anak-anak.

"Saya berasa kesal sebab suami tidak mahu memberikan kerjasama. Kenapa dia berdegil untuk berbincang tentang hal ini, tetapi apabila kes 'ah long' dia muncul pula?.

"Saya berharap sangat dia datang sebab tak nak panjangkan kes ini.

"Kenapa mesti nak menyorok? Saya bukan 'ah long' tetapi isteri dia. Apa-apa yang berlaku, saya perlu bertanggungjawab.

"Sekurang-kurangnya balik dan jengahlah anak-anak di rumah.

"Apa pun, saya tak nak putus asa. Saya terpaksa lawan sebab saya merupakan ibu dan bapa untuk anak-anak kami.

"Nafkah yang saya minta bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga nafkah zahir dan batin iaitu kasih sayang.

"Saya sedia menerima dia asalkan dia berubah dari sikap lamanya. Ibu bapa merupakan 'role model' anak-anak dan bertanggungjawab terhadap mereka," ujar Azlin yang baru mendapat tawaran berlakon beberapa buah telefilem.

"Saya tak tawar hati. Kalau tak, mesti saya dah minta cerai....," luah Azlin selepas keluar dari Dewan Sulh di mahkamah tersebut.

Tuntutan nafkah terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38 difailkan pada 29 Oktober lalu kerana tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan rumah sehingga ke hari ini sejak 10 Julai lalu.

Jelas pelakon yang pernah dilanda kontroversi ini, tuntutan itu juga dibuat kerana semua perbelanjaan rumah termasuk tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.

Kata Azlin, melalui duit lakonan sahaja dia gunakan untuk menyara anak-anak dan dirinya.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang 'ah long'.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Mohd. Yazli pula menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 'ah long' selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Artikel Sebelum

Nikki perjuang jiwa wanita

Artikel Lain