suria

Rumah Terbuka Aidilfitri Muzikfm pikat pendengar Sabah

RASANYA belum terlambat untuk Muzikfm mengadakan majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 18 Oktober ini dengan kerjasama syarikat pengeluar makanan kesihatan, Gemilang Mirza Sdn. Bhd.

Dengan memilih tempat nun jauh di Dewan Baru Masyarakat, Papar, Sabah, majlis tersebut turut diserikan dengan konsert Aidilfitri yang menampilkan artis popular tanahair seperti Nubhan AF6, Farawahida, Mas Idayu, Sheila Abdul, Fazli Zainal, Izwan Pilus, Aizat AF5, juara Bintang Nusantara RTM 2007 Dean, Ebi AF5, Musli Ramli, dan Zainal Cugat.

Bukan itu sahaja, konsert yang dihoskan oleh pengacara nombor satu Malaysia iaitu Aznil Haji Nawawi ini turut membariskan dua artis Brunei iaitu Fakhrul Razi dan Fairuzneezan.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Gemilang Mirza Sdn. Bhd, Awang Binting Pengiran Mat Sallah, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu akan bermula pada pukul 6 petang manakala konsert pula akan menyusul dua jam selepas itu.

"Program ini diadakan selama sehari sahaja iaitu pada 18 Oktober nanti. Orang ramai digalakkan datang kerana masuk adalah percuma.

"Kami bukan sahaja menyediakan makanan di waktu siang, malah kita turut menyerikan majlis dengan persembahan artis popular tanahair di sebelah malamnya.

"Pemilihan artis adalah daripada pengurusan kami sendiri dan kami percaya mereka ini mampu mempunyai peminat tersendiri dan menarik ramai orang untuk datang pada majlis tersebut. Kita memilih mood Aidilfitri dan tetamu yang datang bebas untuk mengenakan pakaian mereka mengikut keselesaan masing-masing.

"Jika majlis ini berjaya, kami merancang untuk mengadakan majlis ini lagi pada masa akan datang. Kami selesa bekerja dengan Muzikfm kerana mereka banyak menyokong kami sebelum ini," katanya dalam sidang media majlis tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, Penaungnya, Datin Rosni Yusof berkata, program terbitan Ady Maldin yang turut melibatkan penyampai Muzikfm seperti Azura, Lynn, Muaz, Hana, Odie, dan Kroll ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara stesen Muzikfm dengan pendengar dan tanda penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan oleh pendengar setia stesen radio berusia 33 tahun itu, terutamanya di Sabah.

"Program seperti ini sudah biasa kami lakukan. Kami pun sudah biasa bekerjasama dengan artis-artis ini dan rasanya tiada masalah untuk mendapatkan mereka. Ini juga bukanlah kali pertama kami mengadakan konsert di Sabah tetapi yang ketiga kalinya.

"Jika ada yang tidak berkesempatan untuk menyaksikan konsert ini, kami juga akan mengadakan mini showcase di Centre Point, Kota Kinabalu pada 19 Oktober ini selama sejam setengah. Itupun atas permintaan peminat di sana," ujar Rosni.

Tambahnya, Muzikfm sentiasa proaktif dalam mengadakan aktiviti terutama melibatkan aktiviti radio di lokasi bagi memberikan hiburan dan informasi secara langsung kepada pendengar.

"Persaingan sengit daripada stesen radio swasta juga menuntut Muzikfm turut sama 'turun padang' agar lebih dekat dengan pendengar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Jadi, kali ini kami akan merakamkan konsert Aidilfitri ini dan membuat siaran tertunda pada masa tertentu nanti," jelas beliau.

Dimaklumkan, ini merupakan lanjutan daripada aktiviti Muzikfm di Sabah selepas mengadakan program bersempena Pesta Keamatan pada Mei 2006.

Dijangka seramai 3000 orang akan menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Muzikfm-Gemilang Mirza ini.

Selain warga kerja Muzikfm, tetamu khas yang turut serta dalam majlis tersebut nanti adalah Awang Binting Pengiran Mat Sallah, Pengarah Urusan LFI Event & Entertainment, Johari Buyong, wakil Dinawan Island Resort, Liau Tet Leong dan Hoh Wai Leong selaku penaja penginapan mereka.

Turut serta adalah kru Selamat Pagi Malaysia dan pendengar bertuah Muzikfm.

Artikel Lain