suria

Hans tangkis status 'pria kesepian'

Hans kini terbuka untuk menerima seseorang dalam hidupnya. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)
Hans kini terbuka untuk menerima seseorang dalam hidupnya. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)
Hans kini terbuka untuk menerima seseorang dalam hidupnya. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)

APABILA menemu bual pelakon dan pengarah kacak Hans Isaac, soalan tentang teman wanita tidak pernah putus. Seperti sedia maklum, jejaka berusia 36 tahun ini juga tidak lari daripada digosipkan dengan mana-mana gadis cantik di luar sana.

Cukup sukar bagi Hans untuk memegang status solo kerana orang akan berkata apa sahaja walaupun belum tentu kebenarannya.

Berbekalkan wajah yang kacak dan tubuh badan yang tegap, kata Hans, bukan mudah untuk dia memikat hati mana-mana wanita kerana kebiasaannya orang akan memandang negatif terhadap dirinya berbanding yang positif.

Mungkin mereka telah banyak mendengar gosip Hans yang selesa berdampingan dengan mana-mana gadis bagaikan seorang playboy itu.

Namun, dalam banyak-banyak gadis di luar sana, ada seorang yang tidak gentar untuk mendekati 'pria kesepian' ini.

Dengan jujur, Hans mengakui yang pintu hatinya kini kembali terbuka untuk menerima kehadiran seorang teman hidup dalam dirinya.

"Saya sedang mengenali seseorang. Dia bukan artis. Sejak sebulan ini, baru hati saya terbuka semula untuk menerima seorang wanita.

"Kami sudah berkawan sejak dua bulan lalu dan sekarang masih hendak mengenali antara satu sama lain. Saya tak nak tergopoh-gapah kerana saya mencari teman hidup yang juga boleh menjadi kawan saya di kala susah dan senang," jawab Hans yang sibuk mempromosikan filem terbarunya, Tipu Kanan Tipu Kiri yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 16 Oktober ini.

Merungkai tentang saat pertemuan antara Hans dan wanita yang sengaja dirahsiakan nama dan latar belakangnya itu, kata Hans: "Saya mengenalinya di satu majlis pelancaran ni melalui seorang kawan. Selepas berjumpa, kami saling bertukar nombor telefon dan kadang-kadang sahaja berhubung."

"Setakat ini, saya selesa berkawan dengan dia kerana dia seorang yang matang. Sikapnya itu membuatkan pintu hati saya terbuka untuk lebih mengenalinya.

"Memanglah setiap orang ingin berkahwin tetapi tunggulah apabila tiba masanya nanti. Saya bukan sahaja tak sabar untuk menjadi seorang suami malah juga tak sabar untuk menjadi seorang ayah! Berilah saya masa...," katanya.

Lamar' Fauziah Latiff

Sebelum ini Hans pernah dikaitkan dengan gosip cinta bersama penyanyi Fauziah Latiff atau Jee. Kali ini, nama Jee bakal disebut-sebut lagi tetapi bukan kerana gosip cinta.

Hans telah pun mengatur perancangan yang baik untuk melamar Jee berlakon dalam drama bersiri terbarunya.

"Semuanya masih dalam perancangan dan saya akan umumkan semuanya nanti," jelas Hans.

Selain itu, Hans juga dijangka akan bekerjasama dengan tiga orang pengarah hebat iaitu Mamat Khalid, Aziz M. Osman dan Afdlin Shauki melalui filem Tiga Jalan.

"Baru-baru ini saya bercuti ke Bali bersama-sama tiga orang pengarah ini sambil mencari ilham untuk menulis skrip filem. Aziz ada juga menawarkan saya untuk berlakon dalam filem itu. Saya pun ada membantu mereka bertiga setakat yang boleh," cerita Hans yang juga bakal mengarah filem keduanya pada bulan Disember nanti.

Sukar pilih skrip filem kedua

Namun begitu, pengarah, lakon layar dan produser dari Tall Order Production ini belum pasti untuk mengarah filem mana dahulu memandangkan dia berhadapan dengan empat buah skrip filem yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Kredibiliti Hans dalam menghasilkan filem memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika tidak, masakan dia berjaya mengondol dua anugerah iaitu Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Harapan menerusi filem pertamanya, Cuci di Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.

"Saya takut kalau filem kedua saya tidak mampu dihasilkan seperti yang orang jangkakan dalam filem pertama saya. Sekarang saya ada empat skrip. Saya tak tahu yang mana nak roll dulu.

"Cerita yang pertama bergenre seram dan cinta, kedua adalah filem Ikan Laga, ketiga pula bergenre romantik komedi dan yang terakhir adalah filem Minah. Tetapi saya mengambil keputusan untuk menerbitkan Minah dalam bentuk drama bersiri," ulas Hans yang juga bakal menerbitkan drama 26 episod Klon untuk Astro Prima.

Tambah Hans, mulai minggu ini dia akan berlakon sebagai kapten juruterbang dalam drama 13 episod Awan Dania untuk siaran Astro.

Selain itu, Hans buat pertama kalinya akan menerbit sebuah pertunjukan komedi yang melibatkan stand up-comedian Harith Iskander dan pelakon Douglas Lim.

"Persembahan tersebut bakal menemui penonton-penonton di Kota Kinabalu, Sabah pada 3 November, Miri, Sarawak (7 dan 8 November), Pulau Pinang (14 November), Kuching, Sarawak (21 November) dan di akhiri dengan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur (12 Disember)," ujar Hans mengenai projeknya yang mendapat tajaan utama oleh Celcom itu.

Hans juga ada menyebut tentang perancangannya untuk menerbitkan teater Muzikal Cuci pada tahun depan. Kata Hans,"Apa yang saya boleh katakan tentang teater ini, empat orang pelakon utama akan dikekalkan sementara yang lain belum diputuskan lagi.".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain