suria

Chanyeol (EXO) lari dikejar peminat di lapangan terbang

Chanyeol melarikan diri apabila dikejar sekumpulan peminat fanatiknya ketika berada di lapangan terbang.

PENYANYI Chanyeol daripada kumpulan EXO terpaksa melarikan diri apabila dikejar oleh sekumpulan peminat fanatiknya ketika dia berada di Lapangan Terbang Incheon, Seoul pada Rabu lalu.

Koreaboo melaporkan walaupun Chanyeol cuba menyembunyikan wajahnya dengan memakai topi dan cermin mata hitam berserta jaket namun peminat tetap dapat mengecam wajahnya sebelum meluru ke arahnya.

Video memperlihatkan Chanyeol berlari menyelamatkan diri tanpa pengawal turut tular di laman sosial dan netizen mengecam tindakan peminat yang langsung tidak memberi ruang kepada selebriti.

"Lapangan terbang bukan tempat berkejar-kejar. Tolonglah beri privasi kepada Chanyeol dan hormati ruang peribadinya. Dia tidak akan lari seperti itu jika tiada cuba mengejarnya," komen netizen.

Chanyeol dilaporkan berangkat ke Tokyo, Jepun untuk bercuti bersama rakan-rakannya.

Ini bukan kali pertama Chanyeol berhadapan situasi seperti itu apabila dia pernah dirempuh peminat yang ingin mendekatinya di lapangan terbang sehingga kasutnya tercabut.

Chanyeol pernah menyuarakan mengenai sikap fanatik peminat di Instagramnya namun nampaknya mereka masih berdegil.

"Kepada peminat yang berjumpa saya di lapangan terbang, saya hargai jika anda dapat menjaga batasan dan beri ruang kepada saya.

"Bukan kita sahaja yang menggunakan lapangan terbang... Terdapat penumpang lain juga yang menunggu keluarga termasuk kanak-kanak.

"Saya tidak mahu ada sesiapa yang tercedera dengan insiden tidak diingini," katanya.

Chanyeol, EXO

Artikel Lain