suria

Peruncit Dilarang Kenakan Surcaj Kepada Pelanggan Guna Kad Debit, Kredit

Gambar hiasan. - AP

KUALA LUMPUR: Di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran, peruncit tidak dibenarkan untuk mengenakan surcaj bagi pembayaran menggunakan kad debit dan larangan yang sama juga terpakai bagi pembayaran kad kredit di bawah peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan Mastercard, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata maklum balas yang disediakan oleh Timbalan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah merujuk kepada faedah yang dikenakan oleh pengeluar kad kredit terhadap pemegang kad bagi baki kad kredit tertunggak yang belum dijelaskan dan bukan bagi surcaj yang dikenakan oleh peruncit ke atas urus niaga kad kredit dan debit.

BNM berkata demikian dalam satu kenyataan hari pada Rabu sebagai memberi respons kepada artikel Free Malaysia Today bertarikh 19 Mac, 2018, bertajuk ‘Consumer body: Abolish surcharges on credit cards' (Badan Pengguna:Hapuskan surcaj ke atas kad kredit).

Bank pusat berkata larangan ke atas surcaj itu dipantau dan dikuatkuasakan oleh bank-bank yang menyediakan kemudahan e-pembayaran kepada peniaga.

"Pengguna yang berdepan dengan peniaga yang mengenakan surcaj dinasihatkan untuk membuat aduan kepada bank masing-masing atau pengeluar kad pembayaran,” kata bank pusat.

BNM berkata satu daripada alasan peruncit mengenakan surcaj adalah untuk mendapatkan semula kos yang ditanggung mereka apabila menerima pembayaran kad di mana mereka biasanya mengenakan bayaran urus niaga, juga dikenali sebagai kadar diskaun peniaga (MDR).

Secara umumnya, bank pusat berkata, MDR bagi kad kredit adalah tinggi berbanding MDR bagi kad debit.

Di seluruh dunia, negara-negara mengguna pakai pendekatan berbeza dalam menangani isu surcaj yang dikenakan oleh peruncit bagi pembayaran kad.

Dalam Kesatuan Eropah dan United Kingdom, peruncit dilarang mengenakan surcaj terhadap pengguna bagi urus niaga kredit dan kad debit manakala di Australia, peruncit mempunyai hak untuk mengenakan surcaj ke atas pelanggan yang membayar menggunakan kad pembayaran lebih mahal seperti kad kredit.

Rasional bagi pendekatan tersebut adalah untuk menggalakkan pengguna membayar menggunakan kad debit yang lebih kos efektif, kata bank pusat.

Di Malaysia, BNM telah memperkenalkan langkah-langkah seperti Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran dan Rangka Kerja Pindah Kredit Saling Beroperasi bagi mengurangkan kos kepada peruncit apabila menerima kaedah pembayaran elektronik kos efektif.

Ini seterusnya akan mengurangkan tekanan kepada peruncit untuk mengenakan surcaj terhadap pengguna.

Bagi mendapat manfaat daripada kos operasi rendah, peruncit juga digalakkan menerima kaedah pembayaran kos efektif seperti kad debit dan pembayaran mudah alih (pindahan dana segera), kata bank pusat.

BNM berkata peruncit yang tidak mampu membayar MDR tinggi bagi kad kredit digalakkan untuk menghubungi bank mereka masing-masing untuk menerima hanya pembayaran kad debit. - Bernama

kad kredit, kad debit, surcaj

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Nova 2 Huawei Hanya RM799

Artikel Lain