suria

Penggabungan Axiata-TM Munasabah - CEO Celcom

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Axiata Group Bhd ‘munasabah',  namun terpulang kepada pemegang saham untuk membuat keputusan muktamad, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Bhd Michael Kuehner.

Beliau berkata TM dan Celcom merupakan syarikat telekomunasi besar, yang memiliki rangkaian terbesar dalam negara.

“Ini perlu dikekalkan, dan saya boleh bayangkan sinergi besar yang boleh terhasil daripada penggabungan ini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pihak Celcom Axiata dengan CEO Malaysia Airlines Bhd Izham Ismail di sini, Khamis.

Celcom Axiata adalah milik Axiata Group.

Cakap-cakap mengenai penggabungan TM dan Axiata muncul sejak tahun lepas, selepas kedua-dua syarikat berpisah pada 2008.

Kuehner, bagaimanapun berkata sukar untuk menentukan hasil cakap-cakap terbabit.

“Berdasarkan pengalaman saya, tidak semua yang munasabah menjadi kenyataan. Sukar untuk menjangkakan, terpulang kepada pemegang saham untuk membuat keputusan,” katanya.

Ditanya sama ada penggiat pasaran, Yoodo, yang akan memasuki pasaran Malaysia menjelang akhir bulan ini, akan mencetuskan saingan  sengit  kepada Celcom, Kuehner berkata beliau tidak melihatnya begitu.

Sebaliknya, kehadiran syarikat itu boleh menjadikan industri berkenaan lebih kompetitif dan menawarkan pilihan kepada pelanggan.

Mengenai unjuran, beliau berkata industri itu akan kekal kukuh tahun depan memandangkan syarikat telekomunikasi mencatatkan hasil yang lebih rendah sejak tiga tahun lepas.

“Mungkin kita akan lihat pertumbuhan hasil yang lebih stabil tahun depan,” katanya.

Kini, Celcom mempunyai 11 juta pelanggan, dengan dua pertiga daripadanya merupakan pelanggan prabayar dan selebihnya pelanggan pasca bayar.

Mengenai MoU yang ditandatangani hari ini, urus niaga jangka panjang itu bermatlamat untuk meningkatkan gaya hidup digital pelancong.

Manfaatnya termasuk cara mudah untuk mendapat mata dan berbelanja perbatuan Enrich MAB, diskaun penerbangan bagi pelanggan Celcom mulai 1 Februari 2018, selain pelan perayuan yang menarik.-- Bernama

Axiata, TM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain