suria

Perodua Yakin Pasaran Tiga Model EEV

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin dapat mencatat satu  lagi tahun yang baik pada 2018, dipacu oleh tiga model Kenderaan Cekap tenaga (EEV) yang dijangka menguasai pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, berdasarkan kekuatan EEV Perodua, pengeluar kereta itu agak positif untuk mencatat satu lagi pertumbuhan yang akan melepasi  jualan 2017.

Beliau berkata, kumpulan itu berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 202,000 unit pada 2017 walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar dan membayangkan satu lagi pertumbuhan jualan satu digit yang boleh dicapai pada 2018.

Prospek jualan Perodua untuk tahun itu dijangka dipimpin oleh 'Myvi' serba baru yang dilancarkan  pada November, bersama 'Axia' hatchback 5 pintu yang paling laris dan sedan pertamanya, Bezza.

Ketiga-tiganya memenuhi definisi kerajaan mengenai EEV di bawah Dasar Automotif Nasional 2014.

"Myvi yang baru mempunyai banyak ciri-ciri yang hebat. Mengambil petunjuk daripada populariti jenama Myvi, ya, kami yakin ia akan berjaya seperti Myvi terdahulu.

"Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan penyerahan Myvi baru dalam jangka masa yang boleh diterima," kata Zahari, yang dinamakan sebagai 'Tokoh Automotif Terbaik 2017' pada Anugerah Kereta Malaysia Terbaik 2017 oleh Institut Automotif Malaysia.

Perodua, melalui 181 pusat jualan di seluruh negara, telah menjual 184,707 kenderaan pada 11 bulan pertama 2017, lonjakan 1.2 peratus daripada 182,485 yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2016.

Myvi baru menerima lebih daripada 20,000 tempahan hanya dalam tempoh satu bulan, respons profil pelancaran hampir sama dengan Myvi terdahulu yang dilancarkan pada 2005.

Model Myvi terdahulu telah menjadi kereta paling popular di Malaysia selama lebih daripada satu dekad yang akhirnya menyebabkan Perodua mengatasi Proton pada carta jualan.

Pada 2006, model Myvi terdahulu membantu Perodua untuk menguasai 30 peratus daripada pasaran kenderaan berbanding 27 peratus oleh Proton, dan terus menjadi kereta terlaris di Malaysia sebelum diatasi oleh Axia yang juga milik Perodua pada 2015.

Media sosial dipenuhi komen bahawa Myvi baru telah meletakkan  penanda aras baru untuk kelas subkompak dengan memasukkan ciri-ciri yang biasanya ditemui pada kereta berharga tinggi, tanppa menaikkan harga dengan ketara.

Menurut Zahari, EEV dengan nilai dan kemampuan - akan menjadi tema untuk 2018.

Myvi baru yang kini memberi tawaran terbaik berbanding dengan pesaing, dijangka menyokong jumlah jualan Perodua yang bergerak ke hadapan.

Myvi baru ialah kereta penarafan keselamatan lima bintang yang kedua milik Perodua oleh Program Penilain Kereta Baharu Asean (Asean NCAP), selepas Bezza.

Diuji dan dinilai berdasarkan protokol terkini 2017-2020 ASEAN NCAP, Myvi baru itu memperoleh 32.71 daripada 36 mata untuk perlindungan penghuni dewasa, mewakili 90.9 peratus pematuhan dan 43.14 daripada 49 mata untuk perlindungan penghuni kanak-kanak, iaitu 88 peratus pematuhan.

Penarafan keselamatan lima bintang itu adalah untuk semua varian Myvi baru, yang mempunyai empat beg udara standard, sistem brek anti-gelincir (ABS) dengan pengagihan brek kuasa elektronik, dan ciri-ciri lain termasuk kawalan kestabilan kenderaan, kawalan daya cengkaman, isyarat berhenti kecemasan , sensor belakang dan peringatan tali pinggang untuk semua tempat duduk.

Harga Myvi baru bermula daripada RM44,300 untuk varian 1.3 Standard G dengan manual 5 kelajuan, RM46,300 untuk auto 4 kelajuan dan RM48,300 untuk 1.3 Premium X automatik.

Model 1.5 liter berharga  daripada RM51,800 dan 1.5 Advance, yang dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif Bantuan Keselamatan Canggih (ASA) berharga RM55,300.

ASA menggunakan sepasang kamera di atas kaca cermin depan kereta untuk memberi amaran kepada pemandu mengenai  amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, peringatan berlepas depan dan kawalan gagal  operasi pedal.

Mengenai penjimatan bahan bakar, Perodua mendakwa bahawa Myvi baru mencatat sehingga 30 peratus lebih ekonomik daripada model Myvi sebelumnya.

Namun, Zahari sedar bahawa dalam pasaran yang sentiasa mencabar, banyak ciri-ciri Myvi yang baru ini mungkin juga ditawarkan oleh syarikat kereta lain.

Menurutnya, garis panduan pinjaman yang lebih ketat yang kadang-kadang memberi kesan kepada  pemprosesan pinjaman pelanggan Perodua, masih merupakan satu cabaran untuk ditangani dan pilihan raya umum Malaysia ke-14 tahun depan boleh menjejaskan sentimen pembeli.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka pertumbuhan jumlah volum industri (TIV) minimum sebanyak 1.7 peratus kepada 590,000 pada  2017 dan pertumbuhan TIV lima peratus untuk 2018 kepada 619,500 unit, dengan jangkaan pemulihan ekonomi.

Keseluruhan TIV pada 2016 berjumlah 580,124 unit, di mana Perodua menguasai pasaran sebanyak 35.7 peratus, yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah pembuat kereta kompak dengan lebih daripada 207,100 kenderaannya dijual.

Sehingga November tahun ini, Perodua kekal sebagai peneraju pasaran jenama tempatan dengan 35.4 peratus penguasaan berdasarkan statistik MAA, diikuti oleh Honda (18.8 peratus), Proton (12.7 peratus), Toyota (11.9 peratus), Nissan (4.8 peratus) dan lain-lain, 16.4 peratus.-- Bernama

Perodua, Bezza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tony Fernandes Dilantik Semula

Artikel Lain