suria

Dasar Pembangunan PKS Akan Disemak Semula - SME Corp

Hafsah Hashim

SERI KEMBANGAN: Dasar berkaitan dengan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan disemak semula untuk mengukuhkan sumbangan sektor itu kepada ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata cadangan semakan semula dasar itu akan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh agensi tersebut dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Kajian itu akan siap pada Februari (tahun depan). Data tersebut akan digunakan untuk menyediakan dasar strategik baharu bagi PKS,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kajian antara SME Corp dan UPM.

 Turut hadir Naib Canselor UPM Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris.  Kajian itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang lebih baik dalam mengukur kebergantungan PKS dan syarikat besar dalam pelbagai industri di Malaysia, selain impak pengganda daripada permintaan domestik dan perdagangan.

Langkah itu juga membolehkan pihak yang berkenaan mengenal pasti hubungan penting antara sektor ekonomi utama dan subsektor PKS.  Sementara itu, Hafsah berkata SME Corp berharap Bajet 2018 akan memberi implikasi yang kondusif untuk menggalakkan pertumbuhan PKS di negara ini.

“Kami turut berharap dapat dipertimbangkan pelepasan cukai dalam beberapa bidang yang boleh meningkatkan pertumbuhan PKS.

“Jika PKS mempunyai usaha ke arah automasi, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, apa salahnya kita memberi ganjaran kepada mereka melalui pengecualian tambahan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain