suria

Sektor Kewangan Boleh Manfaatkan Nota Panduan Etika FSPB

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan kewangan Malaysia boleh memanfaatkan Nota Panduan bagi Kod Etika (CoE) yang baru dikeluarkan untuk industri oleh Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB).

Pengerusi FSPB, Tan Sri Dr Munir Majid berkata Nota Panduan itu menyediakan panduan dan penjelasan tambahan mengenai bagaimana setiap prinsip dalam CoE diamalkan melalui dasar, prosedur dan proses yang tepat dalam sesebuah organisasi.

Beliau berkata, organisasi dalam industri boleh menggunakan prinsip CoE untuk membuat penilaiansekiranya mereka mempunyai dasar dan prosedur yang sepatutnya.

“Nota ini memperincikan bagaimana lima prinsip itu boleh dicapai dan diamalkan dalam organisasi di seluruh industri perkhidmatan kewangan.

“CoE itu juga melengkapkan sistem pengawalseliaan rasmi dan mendorong pengawasan awam ke atas industri perkhidmatan kewangan melalui kod yang dibangunkan oleh industri, untuk industri dan demi kepentingan awam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Nota Panduan untuk CoE di sini.

CoE FSPB, yang dilancarkan pada Januari 2016, menggariskan lima prinsip asas keseluruhan untuk dipatuhi oleh setiap institusi dan individu dalam industri perkhidmatan kewangan.

Lima prinsip itu adalah kompetens, integriti, keadilan, kerahsiaan dan keobjektifan, untuk memupuk budaya profesionalisme dalam industri melalui pembangunan dan sokongan profesional serta piawaian etika.

Nota Panduan tersebut, dilancarkan untuk menyokong CoE, dan pada masa sama ia merangkumi ringkasan dasar, prosedur dan proses yang disyorkan di bawah prinsip etika, senarai yang patut dan tidak patut dilakukan, keadaan lazim dihadapi  industri perkhidmatan kewangan selain cadangan maklum balas, serta persoalan yang perlu dibangkitkan jika timbul sebarang isu membabitkan prinsip.

Munir menjelaskan, Nota Panduan itu tidak menggantikan mana-mana undang-undang, kawal seliaan dan kod sedia ada, dengan institusi dan individu perlu merujuk kepada piawaian industri berkaitan dan undang-undang terpakai.

Beliau berkata Nota Panduan itu dirangka dan disemak berdasarkan perundingan dengan industri, termasuk bengkel selama dua hari dengan anggota industri perkhidmatan kewangan pada Februari 2017, dan disemak semula oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

FSPB merupakan inisiatif sukarela seluruh industri yang menumpukan pembangunan dan sokongan profesional dan piawaian etika bagi seluruh industri perkhidmatan kewangan.

Lembaga tersebut turut merancang untuk melancarkan Kod Amalan Profesional Industri Perkhidmatan Kewangan pada tahun depan menerusi kerjasama industri, untuk meneliti bagaimana industri boleh menentukan dan menilai beberapa tingkah laku tidak diingin selain demi menyokong keseluruhan pelaksanaan CoE dalam industri.

Maklumat lanjut mengenai Nota Panduan baharu itu boleh didapati melalui www.fspb.com.

Artikel Berikut

Artikel Lain