suria

Ahli KWSP Kini 15 Juta, Sumbangan Terkumpul RM712.04 Bilion

KUALA LUMPUR: Bilangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 1.41 peratus kepada 15 juta manakala jumlah sumbangan meningkat 7.27 peratus kepada RM16.52 bilion pada suku kedua 2017, menjadikan jumlah sumbangan terkumpul ahlinya kepada RM712 .04 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata daripada 15 juta ahli, 6.97 juta atau 46.47 peratusmerupakan penyumbang aktif.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah majikan baharu yang berdaftar, merosot 2.14 peratus kepada 14,952 berbanding 15,279 majikan yang didaftarkan pada suku kedua yang sama 2016, katanya dalam satu kenyataan.

Pengeluaran Sekali Gus bagi Umur 60 menyaksikan 13,957 permohonan diluluskan berjumlah RM358.67 juta, manakala Pengeluaran Umur 60 Flexi menyaksikan sebanyak 27,476 permohonan yang diluluskan berjumlah RM624.28 juta.

Sementara itu, beliau berkata permohonan bagi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 yang diluluskan pada suku kedua 2017 menurun 50.96 peratus kepada 44,679 berbanding 91,111 permohonan yang diluluskan pada suku yang sama pada 2016.

Jumlah yang dikeluarkan menerusi skim tersebut sebanyak RM1.73 bilion berbanding RM2.70 bilion pada 2016. Pada suku pertama 2017 sebanyak 55,925 permohonan diluluskan bernilai RM2.21 bilion.

Permohonan yang diluluskan untuk Pengeluaran sekali gus Umur 55 pada suku semasa, juga menurun 25.32 peratus kepada 41,031 (RM2.45 bilion) berbanding 54,946 permohonan yang diluluskan (RM2.69 bilion)  pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pada suku pertama 2017 terdapat 49,371 permohonan yang diluluskan berjumlah RM3.30 bilion.

Kadar majikan ingkar pada suku tahun itu stabil kepada 1.11 peratus, yang menunjukkan kecekapan KWSP dalam tindakan pemulihan selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan terhadap kesejahteraan persaraan pekerja masing-masing, katanya.-- Bernama


KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain