suria

DBOS Biayai Kerja Naik Taraf Sekolah Di Sarawak

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan membiayai kerja-kerja naik taraf kemudahan sekolah di negeri ini yang dijangka menelan belanja RM1 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata keputusan untuk menggunakan dana DBOS itu dicapai dalam mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Sekolah-sekolah daif di Sarawak bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  di Sibu.

"Sarawak memberi penekanan mengenai dengan 'training' (dalam digital ekonomi)  kepada anak-anak kita, malam tadi saya bersama Timbalan Perdana Menteri di Sibu saya beritahu dengan beliau kami perlu melengkapkan sekolah dengan kelajuan internet.

"Jadi malam tadi kami sudah bersetuju kalau Kerajaan Pusat belum lagi ada dana yang cukup, Sarawak akan memulakannya melalui dana kita. Kami mahu semua sekolah kami, termasuk di pedalaman, dilengkapi dengan internet, kita anggarkan kira-kira RM1 bilion diperlukan bagi tujuan tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Program Digital Kenyalang di Pusat Konvensyen Penview, di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata biarpun kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan sendiri untuk kerja-kerja naik taraf itu, kerajaan Pusat masih perlu membayar semula, termasuk faedah.

Artikel Lain