suria

16 Syarikat Melabur Lebih RM900 Juta Di Perlis Sejak 2014

KANGAR: Sebanyak 16 syarikat swasta daripada pelbagai latar belakang industri telah mengesahkan komitmen untuk melabur di Perlis sejak 2014 melibatkan jumlah keseluruhan pelaburan  sebanyak RM984.362 juta, kata Menteri Besar  Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata antara syarikat terbabit dengan pelaburan bersaiz mega di negeri ini ialah Safuan Group Holdings Bhd dengan nilai pelaburan lebih RM365 juta dan TH Properties Sdn Bhd sebanyak RM 311 juta iaitu masing-masing melibatkan projek pembangunan bercampur.

"Angka ini berbeza dengan jumlah pelaburan yang direkodkan Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) yang hanya mengambil kira pelaburan di dalam sektor pembuatan," katanya.

Azlan menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) berkenaan jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk kerajaan negeri serta telah disahkan oleh para pelabur pada persidangan  Dewan  Undangan  Negeri di sini, Rabu.

Menurut beliau pelaburan yang masuk ke negeri ini sangat memberangsangkan serta berpotensi besar memajukan Perlis kerana ia merangkumi pelbagai sektor utama seperti pembangunan komersial, industri solar, hartanah dan pembangunan janakuasa tenaga boleh diperbaharui.

Sementara itu, Azlan berkata pada ketika ini Projek Kangar Sentral di Seriab belum boleh dilaksanakan atas dasar kesulitan teknikal dan kewangan yang terhad.

"Kerajaan Negeri telah meneliti semula skop kerja dan pelan kewangan yang dikemukakan syarikat berkaitan.  Berdasarkan laporan Jawatankuasa Teknikal pihak kerajaan, kita dapati risiko yang terpaksa ditanggung kerajaan berhubung tanah yang akan dicagarkan kepada bank adalah agak tinggi.

"Pada 21 Jun lepas, kerajaan negeri telah memutuskan supaya skop pelaksanaan projek itu dikaji semula bagi tujuan meminimumkan risiko-risiko bakal ditanggung kerajaan," katanya menjawab soalan Datuk Sabry Ahmad (BN-Santan) yang ingin tahu perkembangan projek berkenaan. -- Bernama    

Azlan Man, Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Lain