suria

OM Buka Pejabat Baharu Di Iskandar Puteri

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Azman Mahmud (tengah) merasmikan Pejabat Wilayah Selatan OM di Medini 6, Iskandar Puteri, Rabu. Turut hadir Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd Zulfiqar Zainuddin (kiri) dan Pengerusi OM, Cheah Kok Hoong.

KUALA LUMPUR: Outsourcing Malaysia (OM) membuka pejabat selatannya di Iskandar Malaysia, selari dengan pertumbuhan pesat industri Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan Perkhidmatan Perkongsian dan Penyumberan Luar (SSO), di Iskandar Puteri.

Pejabat itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif OM dalam mewujudkan ekosistem GBS bertaraf dunia di seluruh Malaysia, akan memudahkan pertumbuhan industri tempatan, dan pada masa yang sama menarik dunia ke Malaysia, kata OM dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan i2M Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, merupakan antara rakan utama OM yang bertanggungjawap dalam pembangunan inisiatif promosi pelaburan strategik bagi sektor GBS dan SSO di Iskandar Puteri.

"Pejabat OM itu juga merupakan sebahagian daripada komitmennya dalam menyokong anggota industri yang sudah membuka operasi di Iskandar Puteri menerusi inisiatif GBS Iskandar.

"Antara aktiviti bersama GBS Iskandar, OM akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan syarikat GBS dalam membangunkan bidang utama seperti industri pengetahuan, kumpulan bakat, teknologi, rangka kerja perundangan bagi hak harta intelektual dan lain-lain lagi," kata OM.

OM berkata setakat ini, sembilan syarikat termasuk Frost  and  Sullivan, Courts Asia, Vistra, Imagineering Institute, Nityo Infotech, Odinsoft, Brandt International, VTC dan DayThree,sudah membuka pusat-pusat penyumberan luar dan operasi pejabat belakang masing-masing yang dipermudahkan oleh GBS Iskandar.-- Bernama


OM, Iskandar Puteri

Artikel Lain