suria

Public Bank Catat Untung

Tan Sri Dr Teh Hong Piow

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Public Bank Bhd merosot kepada RM1.63 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017 berbanding RM1.65 bilion dicatat pada temph yang sama tahun lepas.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM5.03 bilion berbanding RM5.01 bilion , kata bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, kumpulan itu terus mengekalkan penunjuk prestasi kewangan yang memuaskan sebagaimana dicerminkan dalam pulangan bersihnya ke atas ekuiti sebanyak 14.9 peratus, nisbah pinjaman terjejas kasar 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 34.3 peratus.

Pada suku pertama 2017, jumlah pinjaman kasar kumpulan itu meningkat pada kadar tahunan 3.6 peratus, pinjaman domestik berkembang lebih cepat pada kadar tahunan 4.7 peratus, diterajui pembiayaan hartanah kediaman dan pinjaman komersil kepada perusahaan kecil dan sederhana.

"Dalam perniagaan pengambilan deposit, kumpulan tersebut mencatat pertumbuhan tahunan 8.1 peratus dalam jumlah deposit pelanggan pada suku pertama 2017, menunjukkan asas stabil kedudukan pembiayaan.

"Di pasaran domestik, jumlah deposit kumpulan berkembang pada kadar tahunan 7.9 peratus," kata Teh.

Menurutnya, perniagaan unit amanah kumpulan, melalui Public Mutual, mencatat pertumbuhan dua angka 11.1 peratus dalam keuntungan sebelum cukai pada suku pertama 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Public Mutual juga terus mengekalkan kedudukan pasaran yang teguh, menguasai 45.8 peratus pasaran runcit industri unit amanah swasta.

"Setakat akhir Mac, Public Mutual mempunyai 135 dana unit amanah di bawah pengurusannya dengan jumlah nilai aset bersih RM74.4 bilion," kata Teh.

Nisbah kos kepada pendapatan Public Bank naik kepada 34.3 peratus berbanding 32.3 peratus pada 2016, tetapi kekal cekap berbanding nisbah kos kepada pendapatan industri perbankan 45.8 peratus, tambahnya.

Teh berkata, kumpulan itu akan terus menjalankan usaha proaktif bagi memastikan ia kekal atas trajektori ke arah mencapai sasaran pertumbuhan 2017.

Artikel Lain