suria

Syarikat Malaysia Di Jakarta, Syarikat Baharu Dinasihat Hubungi Matrade

JAKARTA: Syarikat Malaysia yang kini beroperasi di  Indonesia, selain syarikat baharu yang mahu membuka operasi di negara ini, dinasihatkan menghubungi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia  (Matrade) untuk bantuan.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Jakarta, Naim Abdul Rahman berkata pejabat di sini akan membantu dan memudahkan syarikat Malaysia meneroka pasaran Indonesia yang luas.

"Memperoleh nasihat daripada Matrade dan memanfaatkan rangkaian diaspora sedia ada dalam negara sangat penting," katanya ketika ditemui pada sesi bersama Lembaga Penyelaras Pelaburan Indonesia (BKPM) di sini, Selasa.

Beliau berkata syarikat Malaysia perlu mengambil maklum senarai pelaburan negatif yang menetapkan bidang perniagaan tertutup dan terbuka serta syarat  pelaburan di Indonesia.

Indonesia, dengan jumlah penduduk hampir 300 juta dan pasaran terbesar di Asean, menawarkan pasaran menarik untuk syarikat Malaysia.

Menurut data BKPM, Malaysia ialah sumber kelapan terbesar pelaburan bagi  Indonesia dengan nilai pelaburan sebenar sebanyak AS$1.1 bilion.

Syarikat Malaysia yang sudah pun beroperasi di Indonesia termasuk Maybank, CIMB Bank, XL Axiata, Sime Darby Plantation, Petronas dan Plus Expressways. 

Naim berkata syarat modal minimum bagi firma asing untuk menubuhkan syarikat yang dikenali sebagai PT PMA di Indonesia ialah Rp10 bilion (AS$750,000). 

Ini tidak mengira saiz syarikat di negara asal, dan dianggap sebagai perbadanan besar di Indonesia.-- Bernama


Matrade, Jakarta

Artikel Lain