suria

Rizab Malaysia Tetap Boleh Guna - BNM

KUALA LUMPUR: Butiran terperinci rizab antarabangsa Malaysia berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF SDDS) menunjukkan bahawa pada akhir Januari, 2017, rizab negara tetap boleh guna.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata aset rizab rasmi berjumlah US$94.98 bilion, manakala aset mata wang asing berjumlah  US$348.6 juta pada akhir Januari 2017.

Bank pusat berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan diunjurkan sebanyak US$247.5 juta.

Sementara itu menurut agensi berita Bernama, jumlah kedudukan hadapan pendek ialah sebanyak US$9.62 bilion pada akhir Januari 2017, mencerminkan usaha mengurus mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan. 

Bank pusat berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak US$2.25 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$84.7 juta.

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata bank pusat itu.

Artikel Lain