suria

Tiga Firma Meterai MoU Projek Iklim Hijau Di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Future Forest Sdn Bhd Safinah Yaakob (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat NHF, Vernon Tee (kanan) dan Presiden Tianching Power Green Climate dari China, Alex Yang (kiri) selepas menandatangani perjanjian antara tiga syarikat itu, bagi memperkenalkan Teknologi Hijau China ke Malaysia, Jumaat. Turut hadir Penasihat Future Green Datuk Dr Abdul Razak Ali (dua,kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud (dua,kiri).

KUALA LUMPUR: Kumpulan Syarikat Natural Health Farm (NHF), Future Forest Sdn Bhd dan firma berpejabat di Beijing, Tianqing Power Green Climate Consulting Co Ltd (TQ Power) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai AS$100 juta bagi membangunkan 10 hingga 20 projek iklim hijau di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Di bawah MoU berkenaan, TQ Power yang juga Pemerhati Dana Iklim Hijau (GCF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, akan membiayai dan menawarkan penyelesaian teknologi hijau bagi projek itu manakala NHF dan Future Forest menyediakan kemudahan berkaitan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif NHF, Vernon Tee berkata usaha itu akan dimulakan dengan dua projek iklim hijau masing-masing di Serendah, Selangor serta Langkawi, Kedah mulai April tahun ini.

"Usaha di Serendah merupakan projek demonstrasi bagi memperkenalkan teknologi pembinaan bangunan hijau TQ Power.

"Projek Langkawi pula membabitkan pembinaan vila yang dibuat sepenuhnya dalam teknologi hijau, termasuk bahan binaannya," kata Tee pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di sini, Jumaat.

Sementara itu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Future Forest Safinah Yaakob berkata MoU itu bertujuan menggalakkan syarikat hijau tempatan meneroka peluang projek hijau dan penyelesaian dari sumber antarabangsa yang diiktiraf Rangka Kerja Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Cuaca.

Presiden TQ Power, Alex Yang pula berkata potensi pasaran projek-projek hijau di Malaysia adalah melebihi AS$10 bilion.

"Kami masih mencari peluang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia yang terbabit dalam program penjimatan tenaga, pembangunan tenaga bersih dan pertanian hijau," katanya.

Yang berkata, syarikat itu akan menggunakan dana GCF sepenuhnya dan pelaburan daripada rakan korporat bagi penyediaan pembiayaan modal projek berkenaan.

Katanya, TQ Power juga merancang untuk membangunkan sekurang-kurangnya 200 projek iklim hijau bernilai kira-kira AS$2 bilion di Malaysia menjelang 2030.-- Bernama

Artikel Sebelum

DRB-Hicom Anjur Autofest

Artikel Berikut

Artikel Lain