suria

Forest City Bakal Sumbang RM66 Bilion Hasil Cukai

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Country Garden Group, Young Kwok Keung (empat, kanan) memotong reben sebagai sembolik meraikan majlis Menandatangani Inisiatif Strategik dan Pembukaan Rasmi Hotel Phonenix di Forest City, Selasa.

ISKANDAR PUTERI: Forest City, pembangunan bercampur-campur di atas empat pulau buatan manusia, dijangka menyumbang RM66 bilion dalam hasil cukai kepada kerajaan dalam tempoh 20 tahun.

Pemaju, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) juga menjangka mewujudkan antara 150,000 dan 220,000 pekerjaan dalam pelbagai sektor untuk rakyat Malaysia.

"Momentum Forest City semakin meningkat berikutan kedudukan tempatan, serantau dan globalnya. Disebabkan pelbagai industri tertarik kepadanya, anggaran sumbangan produk domestik kasar ialah RM1,980 bilion.

"Selain itu, jumlah pelaburan terkumpul AS$100 bilion akan menarik pulangan pada kadar memuaskan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, dikeluarkan sempena pemeteraian inisiatif strategik di antara Forest City dan 36 rakan kongsi serta pembukaan Forest City Phoenix Hotel.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Selasa.

Sejak pelancaran Forest City pada Mac, ia telah menyaksikan pembangunan pesat termasuk 5.8 kilometer jalan sambungan yang menghubungkan lebuh raya Pelabuhan Tanjung Pelepas ke pulau tersebut dan bersambung dengan Phoenix Hotel.

Mengenai inisiatif strategik ditandatangani, CGPV berkata, ia akan membantu  Forest City menjadi hab ekonomi, melengkapkan Iskandar Malaysia yang akan memacu aktiviti perniagaan baharu menjadi sebuah perbandaran yang mapan.

Rakan kongsi sinerginya terdiri daripada syarikat terkenal industri perubatan dan penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan, pelancongan, perkhidmatan kewangan, industri pembuatan, bandar raya pintar serta bangunan hijau, kata kenyataan tersebut.

Antara rakan kongsi ialah Huawei, Cisco, Accenture, Midea, China Construction Steel Structure Corporation, Deutsche Bank (Asia Pacific) dan Bank of China Malaysia yang disenarai syarikat Fortune 500.

"Nilai pasaran syarikat terlibat berjumlah AS$1 trilion," katanya.

Mengenai Phoenix Hotel, CGPV berkata, ia terletak di atas 1.71 hektar kawasan di sebuah daripada pulau projek Forest City.

Hotel berkenaan dibangunkan CGPV dan diuruskan Country Garden Hotel Group.

Ia menawarkan pelbagai kemudahan, termasuk penginapan bermula daripada  RM539++ sebilik bagi satu malam, dewan bankuet pelbagai guna yang boleh menampung 500 orang, bilik mesyuarat dan pelbagai pilihan makan malam.

"Dengan lebih 50 rantaian hotel di China, konglomerat itu terus bekerjasama rapat dengan rantaian hotel terkemuka dunia seperti Hilton dan merancang membawa pengalaman luasnya dalam industri hospitaliti ke wilayah Iskandar," tambah syarikat tersebut.-- Bernama

Forest City, Iskandar Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain