suria

Mitsui Outlet Park Bakal Menjadi Gedung Membeli-Belah Terbesar Di Asia Tenggara

Mitsui Outlet Park KLIA.

SEPANG: Mitsui Outlet Park Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal menjadi gedung membeli-belah terbesar di Asia Tenggara menjelang 2021 menerusi dua fasa pembesaran yang sedang berjalan.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata pembesaran itu, yang dijangkakan selesai pada 2018, bakal menyaksikan gedung berkenaan diperluaskan kepada 190 kedai berbanding 130 pada masa ini.

"Fasa dua akan memperkenalkan lebih banyak jenama premium dengan penawaran lebih banyak jenama mewah tempatan dan antarabangsa dalam fesyen, kosmetik, sukan dan aksesori dengan kepelbagaian kepada penawaran ruang hiburan dan taman hiburan, selain kemasukan penyewa berasaskan perkhidmatan," katanya pada majlis pecah tanah fasa dua Mitsui Outlet Park KLIA di sini Isnin.

Wan Abdul Aziz berkata fasa dua akan memperkenalkan pengalaman persekitaran baharu bertema Sky Walk dan River Walk.

Sky Walk akan mempunyai siling simulasi dengan awan, manakala River Walk menyerupai sebatang sungai, menghiburkan pengunjung dengan hiasan dalaman yang menyegarkan.

Beliau berkata fasa baharu akan dibina bersebelahan Mitsui Outlet Park KLIA sedia ada, dan meliputi tambahan 500 parkir kereta untuk melengkapkan 2,100 lot sedia ada.

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Mitsui Fudosan, Osamu Obayashi berkata  fasa kedua pembangunan, perniagaan berkaitan kecantikan dan hiburan akan ditingkatkan serta menambah jenama dan variasi produk gedung berkenaan.

Fasa satu Mitsui Outlet Park KLIA, yang dilancarkan pada Julai tahun lepas, terdiri daripada 128 kedai jenama dan memenuhi keperluan 49 juta pengguna tahunan KLIA dan sembilan juta pengunjung dalam lingkungan 100km dari taman itu.

Mitsui Outlet Park KLIA merupakan satu bahagian penting dalam Pelan Induk KLIA Aeropolis, satu visi untuk menjadikan KLIA sebagai bandar raya lapangan terbang pelbagai.

Ia menyediakan peluang perniagaan, pelancongan dan pekerjaan yang besar termasuk termasuk hab kargo dan logistik, membeli-belah dan taman tema, selain venue mesyuarat, konvensyen dan pameran bertaraf antarabangsa.

Pelaburan untuk tiga fasa Mitsui Outlet Park KLIA dianggarkan RM335 juta. - BERNAMA


Mitsui Outlet Park KLIA

Artikel Sebelum

Kedah Rancang Wujudkan KHTP 2

Artikel Lain