suria

ECRL: Malaysia-China Meterai Perjanjian Rangka Kerja Biaya, Kontrak EPC

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, Isnin bagi memulakan lawatan rasmi selama enam hari ke China. Turut menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya (dua, kiri).

BEIJING:Malaysia dan China akan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Pembiayaan dan Kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan (EPC) Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Selasa.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata jika pembiayaan projek RM55 bilion itu dimuktamadkan menjelang akhir tahun, rel berkembar baharu yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor ke Tumpat, Kelantan itu akan bermula tahun depan.

Beliau berkata kesan limpahan projek kereta api itu bukan sahaja dari segi mengurangkan kos pengangkutan antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung, malah turut dapat mengurangkan harga barangan di Pantai Timur, memendekkan masa perjalanan serta menjadi pemangkin ekonomi dalam merangsang pertumbuhan bandar-bandar kecil di sepanjang laluan.

Projek itu juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, terutama dalam kalangan penduduk luar bandar, katanya kepada media Malaysia selepas menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Isnin untuk lawatan rasmi enam hari ke China.

Irwan Siregar berkata walaupun perjanjian itu belum dimuktamadkan, namun pembiayaan yang ditawarkan oleh China sangat kompetitif dengan kadar rendah berbanding pasaran antarabangsa, selain tempoh pembayaran balik yang panjang  iaitu selama 20 tahun.

Beliau berkata projek itu sangat penting kepada Malaysia, dan tidak boleh ditangguhkan memandangkan ia bukan sahaja merangsang pembangunan industri pengangkutan negara, malah membantu mempercepatkan pertumbuhan bandar-bandar kecil di sepanjang laluan.

Projek itu juga akan membantu proses pemindahan teknologi dalam industri kereta api, katanya.

"Pembangunan kereta api kini merupakan perkara penting, dan Malaysia perlu bertindak untuk mendapatkan teknologi dan sistem baharu pembangunan kereta api," katanya.

Ditanya mengenai kawasan akan dibangunkan dahulu, Irwan Siregaer berkata projek itu akan dibangunkan secara berperingkat-perongkat, dengan fasa pertama dari Pelabuhan Klang - Gombak - Dungun, Terengganu dan fasa kedua dari Dungun ke Tumpat. 

Mengenai fasa yang akan dimulakan, beliau berkata 'ia bergantung kepada yang mana senang untuk dibangunkan', katanya.

Beliau juga yakin isu pengambilan tanah tidak akan menimbulkan masalah untuk projek ECRL.

Dalam pembentangan Bajet 2017, perdana menteri mengumumkan pelaksanaan projek itu secara berfasa, melibatkan laluan dari Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

Pembinaan ECRL berkenaan dijangka bermula tahun depan dan siap pada 2022, dengan anggaran kasar kos RM55 bilion.

Sementara itu, menyentuh mengenai perjumpaan Najib dan Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group yang merupakan usahawan terkenal, terutama dalam e-perniagaan atau perniagaan berasaskan Internet, Irwan Siregar berkata ia merupakan antara usaha Malaysia untuk mempelajari ekonomi digital daripada China.-- Bernama


ECRL, Malaysia, China

Artikel Lain