suria

Naza Quest Sasar Jual 2,200 Chevrolet Pada 2017

Model terbaharu Chevrolet Colorado, yang dilancarkan oleh Naza Quest Sdn Bhd dipamerkan selepas di Menara Naza, Khamis. Chevrolet Colorado didatangkan dengan dua variasi iaitu enjin 2.5 liter dan 2.8 liter. Harga bagi Chevrolet Colorado ini bermula pada harga RM90,188 sehingga RM112,788.

KUALA LUMPUR: Pengedar tunggal produk automotif, General Motors, Naza Quest Sdn Bhd menyasarkan penjualan sebanyak 2,200 Chevrolet pada tahun depan, termasuk mahu meningkatkan bahagian pasarannya kepada tiga peratus daripada jumlah keseluruhan industri.

Naib Presiden, Ketua Syarikat, Mohd Farid Rosli berkata, model trak pikap baharunya, Colorado akan menjadi pendorong kepada sasaran itu dengan menyumbangkan kira-kira 60 peratus daripada jualan.

"Colorado sentiasa menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan kami, kira-kira 3,000 unit telah terjual sejak dilancarkan pada 2014. 

"Kami kini menyasarkan untuk menjual sebanyak 1,300 pikap Colorado tahun depan dan berharap model baharu ini akan meneruskan momentum termasuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran trak pikap Colorado di sini, Khamis.

Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza World Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.

Syarikat itu menyasarkan penjualan lebih kurang 1,000 kenderaan Chevrolet dalam tahun ini, setakat sembilan bulan pertama, sebanyak 850 kenderaan telah terjual berbanding 952 unit pada sepanjang tahun 2015.

Tiga daripada lima varian model itu, menggunakan enjin 2.5 liter dan yang lain, 2.8-liter.

Bahagian pasaran Chevrolet Colorado generasi sebelumnya, hanya dipasang dengan enjin 2.8 liter, menguasai bahagian pasaran sebanyak 10 peratus daripada 60,000 trak pikap yang dijual setiap tahun.

Naza Quest yakin, kepelbagaian varian kali ini yang merangkumi kapasiti enjin yang lebih besar dan kecil, akan mampu menembusi pasaran yang lebih luas, kata SM Faizal.

Katanya, syarikat itu merancang untuk membuka lima lagi bilik pameran pada 2017, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 buah, bagi mempertingkatkan pengedaran kenderaan di Kedah, Terengganu, dan beberapa buah bandar di Sabah serta Sarawak.

Sekarang ini, ia mempunyai sebanyak 21 pusat perkhidmatan di seluruh negara, ia juga telah mempertingkatkan keupayaan bekalan bahagian alat gantinya melalui pemilikan gudang sendiri di Shah Alam bagi mengawal stok, katanya. 

Beliau ketika mengulas mengenai langkah kerajaan yang mahu memperkenalkan program biobahan api B10 menjelang suku keempat tahun ini, berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana semua kenderaan Chevrolet adalah sesuai dengan bahan api tersebut.-- Bernama

Artikel Lain