suria

Lebihan Dagangan Malaysia Meningkat RM8.51 Bilion

KUALA LUMPUR: Lebihan perdagangan Malaysia pada Ogos meningkat kepada RM8.51 bilion berbanding RM1.91 bilion yang dicatatkan pada Julai 2016 susulan peningkatan eksport ke ASEAN, India, Amerika Syarikat, Mexico, Turki, Hong Kong dan Kesatuan Eropah.

Eksport Malaysia pada Ogos 2016 mencatatkan yang tertinggi dalam tempoh lapan bulan sebanyak RM67.58 bilion, naik 1.5 peratus, berbanding eksport pada Julai sebanyak RM59.8 bilion, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada Jumaat.

Import meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM59.07 bilion manakala perdagangan mencatatkan nilai sebanyak RM126.65 bilion, naik sebanyak tiga peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2016, perdagangan sebanyak RM948.45 bilion, dengan eksport berjumlah RM500.33 bilion dan import sebanyak RM448.12 bilion.

"Perdagangan, eksport dan import bagi tempoh ini, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.9 peratus. Lebihan perdagangan naik 1.8 peratus kepada  RM52.21 bilion berbanding RM51.28 bilion," katanya.

Secara keseluruhan, prestasi eksport yang lebih baik pada Ogos 2016 dilihat dalam pertumbuhan eksport pembuatan dan pertanian yang positif, berbanding penyusutan pada Julai 2016.

Bagaimanapun, eksport barangan perlombongan, terus merosot.

Eksport barangan pertanian naik 13.8 peratus kepada RM6.81 bilion, didorong oleh eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit yang tinggi, sebanyak RM867 juta.

"Eksport minyak sawit pada Ogos 2016 meningkat 19.9 peratus kepada RM4.32 bilion, berikutan nilai unit purata (AUV) dan jumlah dagangan yang tinggi.

"Eksport barangan perlombongan susut 14 peratus kepada RM4.9 bilion, sebahagian besarnya disebabkan penurunan eksport gas asli cecair yang merosot  38.9 peratus kepada RM1.89 bilion, disebabkan jumlah dagangan dan AUV yang rendah," katanya.

Eksport ke ASEAN terus kukuh dan meningkat empat peratus atau RM769 juta untuk mencecah RM20.02 bilion pada Ogos 2016, menyumbang 29.6 peratus daripada jumlah eksport negara, naik berbanding 28.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos tahun lepas. - BERNAMA

Dagangan, Malaysia

Artikel Lain