FAMA, KTMB Jalin Kerjasama Jual Produk Pertanian Tempatan - Niaga | mStar

FAMA, KTMB Jalin Kerjasama Jual Produk Pertanian Tempatan

Durian antara buah-buahan yang akan dijual di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur hasil kerjasama FAMA dan KTMB. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalinkan kerjasama membuka gerai jualan buah-buahan tempatan di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Presiden KTMB, Datuk Haji Sarbini Tijan berkata, selain produk pertanian, pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan foodtrak, karavan dan produk usahawan tempatan turut diadakan.

Ujarnya, antara buah-buahan yang dijual termasuk durian, rambutan, pulasan dan dokong yang dijual dengan harga berpatutan.

"Buat masa ini, KTMB dan FAMA bersetuju untuk mengadakan aktiviti tersebut sebulan sekali di Stesen Kuala Lumpur.

"Jika mendapat sambutan yang baik, kami akan mempertimbangkan untuk mengadakan program ini dengan lebih kerap," katanya kepada media.

Mengulas tentang objektif program itu, Sarbini berkata, kerjasama ini merupakan usaha kedua-dua pihak memartabatkan produk pertanian tempatan selain menggalakkan orang ramai untuk membeli buah-buah tempatan.

"Buah-buahan memiliki banyak khasiat untuk mengelakkan daripada mendapat penyakit, sejajar dengan usaha kerajaan melahirkan rakyat Malaysia yang sihat," katanya.

Kerjasama strategik ini dilaksanakan susulan sambutan yang memberangsangkan di pasar tani Kuarters KTMB, Bangsar yang beroperasi pada setiap Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak memaklumkan bahawa KTMB merupakan rakan kongsi yang strategik untuk mencapai objektif mereka.

Jelasnya, setiap tahun, kira-kira 60 juta penumpang menggunakan perkhidmatan KTMB, sekali gus menjadi lokasi strategik kepada pengusaha untuk membuka tapak pasar tani di setiap stesen.

“Saya bercadang untuk meletakkan produk yang berbeza di setiap stesen. 

"Antaranya ikan air tawar, buah-buahan yang jarang ditemui, makanan dan sebagainya,” jelas beliau.

FAMA , KTMB

Artikel Sebelum

IPP Malaysia Meningkat Pada Julai

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

FAMA Eksport 'Anak Sekolah' Ke China

Artikel Lain

Hamidin dipilih presiden MFL baharu