suria

Untung Sebelum Cukai Sime Darby Susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Sime Darby Bhd pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016 susut kepada RM1.09 bilion berbanding RM1.15 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan merosot kepada RM11.73 bilion pada suku kajian berbanding RM12.86 bilion dicatat sebelum ini, kata konglomerat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini (Selasa).

Untuk setahun penuh, keuntungan sebelum cukai jatuh 10.5 peratus kepada RM2.82 bilion, terutama disebabkan pendapatan lebih rendah daripada semua segmen perniagaan, kecuali kenderaan dan hartanah.

Pendapatan bagaimanapun meningkat 0.5 peratus kepada RM43.96 bilion berbanding RM43.73 bilion dicatat pada tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, tempoh ketidaktentuan yang berpanjangan berikutan turun naik harga komoditi dan keadaan ekonomi di pasaran utama, kumpulan itu berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama untuk tahun kewangan 2016 sebanyak 20 peratus kepada RM2 bilion.

Pada suku lepas, bahagian perladangan Sime Darby mencatat keuntungan tinggi sedikit sebelum faedah dan cukai sebanyak RM499.3 juta berbanding RM489.4 juta dicatat suku yang sama pada 2015.

Ini disebabkan terutama harga purata minyak sawit mentah yang lebih tinggi iaitu RM2,636 satu tan metrik pada suku keempat 2016 berbanding RM2,242 satu tan metrik pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pengeluaran tandan buah segar bahagian itu di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea serta Kepulauan Solomon masing-masing merosot 29 peratus, 37 peratus dan sembilan peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.

Sime Darby berkata, trend yang sama boleh dilihat di Malaysia dan Indonesia, dengan penyusutan dua angka bagi tempoh di bawah kajian.

"Ini disebabkan musim kering yang berpanjangan, diburukkan lagi fenomena Super El-Nino, terutama di Sabah, sebahagian Semenanjung Malaysia dan Kalimantan," katanya.

Bagi bahagian perindustrian, keuntungan sebelum faedah dan cukai naik tiga peratus kepada RM129 juta pada suku keempat 2016 berbanding RM125.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini disebabkan realisasi faedah kos selepas penyiapan projek, terutama di China dan keuntungan jualan hartanah di Malaysia berjumlah RM10 juta, tambahnya.

Keuntungan sebelum faedah dan cukai bahagian kenderaan melonjak kepada RM197.1 juta pada suku keempat 2016 berbanding RM142.4 juta pada suku sama tahun lepas manakala bahagian hartanah merosot kepada RM293.6 juta berbanding RM416.4 juta pada suku akhir 2015.

Sime Darby

Artikel Lain