suria

Boeing Unjur Hampir 1.5 Juta Juruterbang dan Juruteknik Diperlukan

KUALA LUMPUR: Boeing mengunjurkan hampir 1.5 juta juruterbang dan juruteknik diperlukan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Boeing dalam satu kenyataan pada Selasa berkata industri penerbangan komersial dunia akan memerlukan kira-kira 617,000 juruterbang penerbangan komersial antara 2016 dan 2035.

Syarikat itu dalam laporan 2016 Pilot and Technician Outlook yang dikeluarkan pada Isnin, 25 Julai, menyatakan 679,000 juruteknik penyenggaraan syarikat penerbangan komersial baharu dan 814,000 kru kabin baharu akan diperlukan antara tempoh 2016 dan 2035.

"Tinjauan 2016 menunjukkan pertumbuhan 10.5 peratus bagi juruterbang berbanding tinjauan 2015 dan 11.3 peratus bagi juruteknik penyenggaraan," menurut laporan itu.

Naib Presiden Boeing Flight Services, Sherry Carbary berkata laporan Pilot and Technician Outlook itu telah menjadi sumber bagi industri untuk menentukan permintaan bagi operasi syarikat penerbangan yang berjaya.

Bagi rantau Asia Pasifik, Boeing mengunjurkan kira-kira 248,000 juruterbang baharu, 268,000 juruteknik baharu dan 298,000 kru kabin baharu diperlukan bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Boeing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain