suria

Hasil Eksport Daripada Sarung Tangan Getah Cecah RM14.3 Bilion

KUALA LUMPUR: Hasil eksport daripada sarung tangan getah dijangka mencecah rekod tertinggi sebanyak RM14.3 bilion pada tahun ini,  naik 14 peratus, berbanding RM13.1 bilion pada tahun lepas, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma).

Malaysia kekal sebagai pengeluar sarung tangan getah nombor satu di dunia dengan 133.6 bilion sarung tangan dianggarkan dikeluarkan pada tahun ini, menguasai kira-kira 63 peratus daripada bahagian pasaran dunia, kata Presiden Dennis Low.

Pada suku pertama, hasil daripada eksport sarung tangan getah Malaysia mencecah RM3.2 bilion dan pada masa akan datang, ia boleh mencecah setinggi RM4 bilion pada setiap suku tahun.

"Permintaan global bagi sarung tangan getah masih kukuh didorong oleh sektor penjagaan kesihatan. Dianggarkan permintaan global pada tahun ini sebanyak 212.2 bilion sarung tangan, yang bermakna 6,728 sarung tangan digunakan pada setiap saat.

"Kami menjangka industri akan terus berdaya tahan dengan pertumbuhan tahunan dianggarkan sekurang-kurangnya antara lapan dan 10 peratus," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Low menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara  Margma, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia dan rakan kongsi utama serta peserta pameran bagi Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-8, yang dijadualkan pada 6-8 Sept di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Ekonomi dunia tidak begitu baik tetapi kematangan peserta akan memastikan industri tidak menghadapi masalah walaupun terdapat cabaran.

"Persaingan yang sihat dalam kalangan kami adalah baik. Kami lebih bimbang mengenai pesaing dari luar," kata Low.

Thailand menduduki tangga kedua sebagai pengeluar sarung tangan global dengan anggaran bahagian pasaran sebanyak 21 peratus pada tahun ini, diikuti  China (lima peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain