suria

Jenama Hijab Benang Hijau Bakal Ke Eropah

KUALA LUMPUR: Benang Hijau, jenama eksklusif hijab dan pakaian wanita, bakal melebarkan sayapnya ke Eropah tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan para pembelinya di benua itu.

Pengasasnya Fadzilah Mamat berkata selain mendapat sambutan pembeli dalam negara, produk jenama tersebut turut menerima tempahan pembeli luar negara secara dalam talian, terutama dari benua Eropah.

"Eropah akan menjadi pilihan pertama Benang Hijau buat masa ini... di samping tempahan hijab dan pakaian wanita, kami turut mendapat sambutan yang menggalakkan bagi koleksi Hari Raya tahun ini," katanya kepada Bernama.

Fadzilah berkata walaupun produknya boleh didapati secara dalam talian,  beliau juga mempunyai premis jualan fizikal bagi membolehkan pembeli yang berpotensi merasai dan meneliti sendiri produknya, terutama dari segi kualiti.

"Barangan Benang Hijau berbaloi dengan harganya, ia tidaklah begitu mahal dan tidak murah.. ia setimpal dengan kualitinya", katanya.

Bercakap mengenai pasaran domestik, Benang Hijau akan menambah tiga lagi cawangannya, masing-masing di Ipoh, Perak, Nilai, Negeri Sembilan dan Kuching, Sarawak.

Pembukaan ketiga premis baharu ini akan menambah bilangan kedai Benang Hijau kepada 21 buah tahun ini.

"Kami juga menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 10-20 peratus tahun ini melalui pertambahan tiga premis tersebut.

"Benang Hijau turut berharap memperoleh hasil jualan bagi koleksi Aidilfitri tahun ini sebanyak RM4 juta daripada sasaran keseluruhan RM30 juta," kata Fadzilah.

Benang Hijau mengeluarkan lebih 10,000 helai baju dan 100,000 helai tudung sempena Hari Raya Aidilfitri.

Tahun ini, Benang Hijau memperkenalkan lebih kurang 20 koleksi pakaian dan tudung sempena Lebaran 2016.

Di samping itu, ia turut melancarkan dua koleksi eksklusif iaitu Autumn Tree Dress dan Blossom Sakura Dress, yang merupakan koleksi istimewa dengan inspirasi empat musim.

Artikel Lain