suria

OCBC Kekalkan Unjuran KDNK 2016 Malaysia Pada 4.4 Peratus

KUALA LUMPUR: OCBC Bank's Global Treasury Research and Strategy mengekalkan unjurannya bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2016 Malaysia pada 4.4 peratus.

"Memandangkan kekukuhan perbelanjaan swasta pada suku pertama tahun ini (Suku-1 2016), tidak terlalu mengejutkan melihat Bank Negara Malaysia (BNM) kekal optimis tentang prospek pertumbuhan Malaysia," kata firma penyelidikan itu dalam laporan 2016 Global Mid-Year Outlook di sini, Jumaat.

Firma itu berkata penggunaan isi rumah Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada Suku-1 2016 berbanding 4.9 peratus pada Suku-4 2015.

"Gabenor BNM baharu Datuk Muhammad Ibrahim dilaporkan sebagai berkata ekonomi kekal berada di landasan yang betul berkembang sebanyak 4.0-4.5 peratus tahun ini, yang mana kami turut bersetuju dengan mengekalkan unjuran kami pada  4.4 peratus," kata firma itu.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus bagi baki selebihnya tahun ini untuk menyokong aktiviti ekonomi.

"Melainkan angka eksport merosot dengan ketara, atau penggunaan domestik berkurangan, bank pusat kemungkinan besar mengekalkannya pada 3.25 peratus bagi tempoh berbaki tahun ini," kata firma itu.

Pertumbuhan eksport Malaysia menunjukkan penguncupan tahun ke tahun 0.5 peratus pada Suku-1 2016 berbanding pertumbuhan 0.6 peratus dalam suku sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan terutamanya persekitaran luaran yang mencabar seperti kelembapan ekonomi China.

Artikel Lain