suria

Heng Eksport Durian Berjuta Ringgit

BANDAR BARU: Minat terhadap raja buah-buahan menyebabkan seorang jurutera mekanikal Heng Wee On, 58, dan keluarganya muncul sebagai pengusaha durian terkenal di daerah Kulim.

Melalui syarikat keluarga Serene Orchard Sdn Bhd, Heng berjaya mengeksport isi durian klon "Duri Hitam" dan "Musang King" dalam bentuk sejuk beku ke China dan Hong Kong selain klon Musang King.

Nilai eksport Durian Hitam sahaja pada 2015 mencecah RM1 juta, belum lagi dihitung nilai eksport Musang King. 

Wee On yang ditemui Bernama baru-baru ini pada Program Jom Makan Durian anjuran Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di ladang duriannya di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bagan Samak, di sini. 

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Exco Negeri Kedah yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kawasan Bandar Baharu iaitu Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Ketua Pergerakan Puteri Negeri Kedah Datin Hashimah Tajuddin.

BERKAT USAHA KELUARGA

Menceritakan kejayaan keluarganya itu, Heng berkata ianya bukanlah datang secara bergolek. 

Dusun durian yang dilihat hari ini sebenarnya adalah tanah milik keluarga yang pada asalnya ditanam dengan getah.

"Hanya mulai 1991 kami memulakan tanaman limau madu diselang seli dengan durian termasuklah beberapa jenis klon durian seperti D24, D197, D175, D185 dan durian tempatan pilihan. 

Bagaimanapun, didapati tanaman limau madunya merosot dan lagipun ia mudah diserang penyakit. 

Menurut Heng, pada tahun 2000 pokok limau madu ditebang dan digantikan dengan durian klon baharu berasal dari Sungai Bakap, Seberang Perai yang dikenali sebagai "Duri Hitam". 

Menurutnya lagi, pada 2009 kerja-kerja mencantum baka untuk menghasilkan klon ini menggunakan kaedah "Cantuman Pokok Dewasa" dipraktik menggunakan kemahiran bapanya Bak Kee. 

Melalui kaedah ini pokok-pokok Durian Hitam ini yang dihasilkan mampu berbuah dalam tempoh antara dua dan tiga tahun. 

"Pada tahun 2013 sebanyak 2,800 pokok durian daripada kaedah cantuman itu mula berbuah. Pada tahun itu isi durian Durian Hitam mula dieksport bersama isi durian Musang King dengan nilai eksport mencecah RM4 juta. 

"Sementara pada tahun 2014 pula pihaknya mengeksport durian bernilai RM2 juta dengan nilai eksport tahunan itu bergantung kepada pengeluaran," tambah Heng lagi.

LEBIH BANYAK POKOK DURIAN

Kini atas usaha gigih, tanah seluas 37.5 hektar di kawasan lebih dikenali sebagai Bukit Bak Kee (nama bapa Heng) atau Bukit 80 Relong di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Mukim Bagan Samak di sini, telah siap ditanam dengan 5,500 batang pokok durian klon Duri Hitam.

Kawasan berbukit terletak di ketinggian 257 meter dari paras laut menjadi tumpuan peminat durian yang sanggup membayar antara RM40 dan RM50 sekilogram bagi durian Duri Hitam dan Musang King. 

Sementara itu, Norsabrina pula berkata selain Kampung Relau yang juga kawasan pengeluar durian di daerah ini, lokasi baharu ini di puncak bukit akan muncul pula tempat pengeluar durian yang berharga tinggi jadi tumpuan umum.

"Ramai pelancong tempatan dari negeri-negeri di Utara dan Selatan juga berkunjung ke ladang durian ini setiap musim durian," kata beliau merujuk kepada Bukit Bak Kee.

PENGIKTIRAFAN BAGI HENG 

Pegawai Pertanian Daerah Bandar Baharu, Awang Iffaizul Awang Mohd Sapuani pula mahu lebih ramai pemilik dusun durian di daerah ini dan berdekatan mengambil inisiatif menanam durian menggunakan klon Duri Hitam. 

Mereka juga perlu mengikut kaedah "Cantuman Pokok Dewasa" yang bukan sahaja dapat menghasilkan kualiti buah durian bermutu tetapi juga berbuah dalam tempoh yang cepat. 

Menurut Awang Iffaizul lagi Jabatan Pertanian telah menganugerahkan Sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) pada 25 April 2013 kepada syarikat keluarga Heng. 

Beliau yang turut hadir pada program itu menjelaskan bahawa syarikat berkenaan adalah syarikat ladang buah-buahan pertama di daerah Bandar Baharu yang mendapat sijil itu. 

"SALM adalah satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, selain menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja" tambah Awang Iffaizul. -- Bernama


Artikel Lain