suria

RHB Bank Sasar Tubuh Bank Komersial Di Indonesia

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group berkemungkinan mengembangkan lagi kehadirannya di Indonesia menerusi penubuhan sebuah bank komersial di negara itu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata ia berikutan kumpulan itu sudah pun memiliki sebuah bank perdagangan dan pengurusan aset di Indonesia.

"Oleh itu, dari sudut potensinya, apa yang masih kami belum miliki adalah sebuah bank komersial," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di sini, Khamis.

Menurutnya, setakat ini, kumpulan perbankan itu bertapak di sembilan negara ASEAN membabitkan perniagaan perbankan pelaburan, pengurusan aset dan perbankan komersial.

Khairussaleh berkata, matlamat bank itu adalah meraih pempelbagaian perolehan dari segi geografi, termasuk sumbangan operasi antarabangsa sebanyak 20 peratus daripada keuntungan kumpulan menjelang 2020 berbanding 14 peratus ketika ini.

"Dari segi keutamaan, kami merancang untuk berkembang ke Indonesia kerana ia mewakili satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN.

"Kumpulan ini akan membuat sedaya yang termampu. Kami terbuka kepada sebarang usaha pengembangan secara bukan organik, namun sebarang pengambilalihan di luar negara perlulah berdasarkan harga yang wajar dan masa yang tepat," tegasnya.

Pada AGM berkenaan yang disifatkannya sebagai terakhir untuk RHB Capital, Khairussaleh berkata RHB Bank akan menyambung status penyenaraian RHB Capital menjelang pertengahan Julai 2016.

Namun, usaha penyenaraian saham-saham RHB Bank itu tertakluk kepada kelulusan pihak Bursa Malaysia Securities bagi permohonan sebut harga saham berkenaan.

Ia dijangka dapat dikemukakan selepas para pemegang saham RHB Capital meluluskan resolusi cadangan pembubaran RHB Capital di Mesyuarat Agung Luar Biasa akan datang pada akhir Jun 2016.

"Kejayaan terbitan hak syarikat sebanyak RM2.34 bilion pada Disember 2015 ternyata mengukuhkan modal asas kumpulan bagi tujuan pertumbuhan serta memenuhi syarat kawal selia.

"Pada 14 April, kami dapat menyelesaikan usaha penstrukturan semula di peringkat dalaman dan RHB Bank muncul satu syarikat pegangan baharu hasil suntikan RM2.49 bilion," katanya.

Artikel Lain