Prasarana Pilih 96 Pemohon Pralayak Bagi Projek LRT3 - Niaga | mStar

Prasarana Pilih 96 Pemohon Pralayak Bagi Projek LRT3

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) mengumumkan 96 pemohon layak bagi menender pembinaan projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) Bandar Utama-Klang yang menelan kos RM9 bilion.

Prasarana berkata 96 pemohon itu dikenal pasti daripada 124 pemohon yang berjaya memenuhi syarat-syarat kriteria penilaian beradasarkan wajaran selepas selesainya tahap prakelayakan bagi proses tender kompetitif projek sejauh 37 kilometer itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata setiap pemohon dinilai berdasarkan kepada antara lainnya struktur syarikat individu, maklumat kewangan, pengalaman yang telah terbukti berjaya dan struktur pelaksanaan projek, untuk layak bagi pakej prasarana dan sistem. 

"Oleh kerana penender pralayak telah disenarai pendek, Prasarana dan rakan kongsi penyediaan projek, MRCB George Kent, kini akan memulakan proses tender bagi projek LRT3," katanya pada taklimat dengan penender pralayak di sini, Rabu. 

Azmi berkata lapan kategori daripada sejumlah 12 diumumkan hari ini dan baki selebihnya akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. 

"Lapan kategori itu termasuklah empat dalam prasarana dan empat dalam sistem manakala kategori selebihnya termasuk kutipan tambang automatik, pembinaan landasan dan rel kuasa pengalir, peralatan depot dan kenderaan penyenggaraan landasan dan sistem kawalan akses elektronik," katanya.

Azmi berkata prakelayakan bukan jaminan mendapat kontrak dan penender bertanggungjawab untuk memastikan semua dokumen diserahkan adalah benar, tepat, sah dan lengkap mengikut keperluan seperti yang dinyatakan dalam dokumen tender.

"Jika mana-mana maklumat didapati berbeza, Prasarana berhak untuk membatalkan kelayakan pemohon," katanya. 

Tempoh tender dilanjutkan dari Mei 2016 dan seterusnya daripada serahan pertama tender pertama yang dijadualkan hingga pemberian akhir tender akhir yang dijadualkan. 

LRT3 akan mempunyai 26 stesen dan disasarkan siap bagi fasa pertama menjelang Ogos 2020.-- Bernama



Prasarana , LRT3 , Azmi Abdul Aziz

Lebih Artikel