suria

BNM, Kerajaan Negeri & Bank Bekerjasama Dalam Pembiayaan Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM), kerajaan negeri dan industri perbankan akan bekerjasama untuk menyelaras kriteria yang digunakan dalam meluluskan pembiayaan rumah dan untuk meningkatkan kemampuan pemohon.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, BNM berkata, penilaian oleh bank-bank terhadap peminjam sebahagiannya adalah untuk membantu mereka memastikan mereka mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman.

"Ini bagi memastikan peminjam boleh terus membayar balik pinjaman dan mempunyai kewangan mencukupi untuk perbelanjaan hidup.

"Ia juga untuk memastikan bahawa peminjam dapat melindungi diri mereka terhadap kenaikan kos dan perkara buruk yang tidak dijangka termasuk perampasan rumah.

"Maksimum tempoh pinjaman perumahan selama 35 tahun adalah lebih daripada mencukupi untuk peminjam membayar balik pinjaman perumahan mereka mengikut umur persaraan mereka," katanya.

Bank pusat itu berkata penilaian pembiayaan mengambil kira pendapatan pemohon selepas potongan statutori, perbelanjaan ke atas keperluan dan semua obligasi hutang dari bank-bank dan pemberi pinjaman bukan bank.

"Mereka yang tidak berupaya untuk memiliki rumah juga boleh mempertimbangkan pilihan untuk menyewa," katanya.

BNM berkata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit telah menyediakan nasihat kepada pemohon untuk merasionalkan tahap hutang mereka dan mendidik mereka dalam pengurusan kewangan berhemat.

"Adalah penting bagi peminjam memberikan maklumat dengan tepat, mengambil kira kedudukan kewangan mereka apabila memohon pembiayaan perumahan untuk memastikan penilaian objektif oleh institusi kewangan," katanya. - BERNAMA

BNM, rumah mampu milik

Artikel Lain