suria

AirAsia Lancar Penerbangan Kota Kinabalu Ke Wuhan

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia hari ini melancarkan penerbangan sulung dari Kota Kinabalu ke wilayah Wuhan, China.

Pesawat AK2138 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bersama kira-kira 120 penumpang atau lebih 70 peratus daripada muatan penerbangan, terdiri kebanyakannya rakyat Malaysia pada 6.55 petang, dan dijangka tiba di destinasinya pada 11.10 malam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada penumpang, sambil diiringi Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai dan Pengurus Besar Datuk Irene Charuruks, serta Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee.

Ketika ditemui pemberita, Masidi berkata penerbangan sulung AirAsia ke Wuhan hari ini, bermakna kira-kira 61 penerbangan kini beroperasi antara Kota Kinabalu dan China setiap minggu oleh syarikat penerbangan seperti Shanghai Airlines, Spring Airlines serta AirAsia.

"Tahun lepas, AirAsia membawa 3.8 juta penumpang ke dan dari Sabah - jumlah tertinggi oleh sesebuah syarikat penerbangan dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negeri ini," katanya.

"Saya percaya masa depan antara China dan Sabah adalah dalam pelancongan.

Saya menyeru kerajaan, sektor swasta, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan untuk berganding bahu dan bekerja keras bagi memastikan kejayaan industri pelancongan di negeri ini," katanya.

Kira-kira 180 penumpang atau hampir 100 peratus daripada muatan penerbangan akan menaiki penerbangan pertama AirAsia pesawat AK2139 dari Wuhan-Kota Kinabalu  pada 11.55 malam ini, dan dijadual tiba pada 4.05 pagi esok.

AirAsia, Wuhan, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain