Peniaga Di Mara Digital Mall Disaran Tubuhkan Koperasi - Niaga | mStar

Peniaga Di Mara Digital Mall Disaran Tubuhkan Koperasi

KUANTAN: Peniaga di Mara Digital Mall disaran agar menubuhkan sebuah koperasi khas bagi menyelesaikan masalah untuk mendapatkan stok produk telefon bimbit dan peralatan teknologi lain.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata kewujudan koperasi itu membolehkan pihak Angkasa mewakili mereka untuk berbincang dengan pihak pengeluar secara terus tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.

"Angkasa tiada halangan mewakili mereka untuk berbincang dengan pengeluar utama seperti Apple dan Samsung bagi mendapatkan peralatan telekomunikasi atau produk-produk lain jika satu koperasi ditubuhkan.

Kita mempunyai lapan juta ahli dan saya yakin kita mudah untuk mendapat kepercayaan dalam mendapatkan pesanan secara terus dari kilang atau pengedar mereka yang sah," katanya.

Jadi tidak timbul isu peniaga terpaksa mengambil produk berkenaan dari Plaza Low Yat selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Gerakan Koperasi Baru Angkasa Negeri Pahang Zon 1 di sini pada Isnin.

Abdul Fattah berkata pihaknya juga berupaya untuk mengedarkan peralatan teknologi itu melalui cawangan koperasi yang dilihat lebih menyeluruh yang secara langsung dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Kita mampu untuk mengedar kepada pengguna bukan sahaja di Mara Digital Mall bahkan di Koop 1 Malaysia, Koperasi Felda, Kedai Tukar dan banyak lagi.

Namun, hal ini memerlukan rundingan antara koperasi dengan koperasi dan bukan antara individu dengan koperasi bagi menyelesaikannya," katanya.

Pada majlis yang sama sektor koperasi di negara ini diseru agar lebih berani untuk menceburi perniagaan berimpak tinggi dan bersifat global serta tidak bergantung kepada perniagaan tradisional bagi memberi sumbangan lebih berkesan kepada ekonomi negara.

Abdul Fattah berkata antara bidang berpotensi tinggi untuk diceburi oleh koperasi ialah kewangan, telekomunikasi, pelancongan, pemborongan, peruncitan, hartanah dan pembekalan produk dan perkhidmatan halal.

"Kekuatan kita ialah produk halal dan perkhidmatan kewangan Islam. Cop Halal Malaysia lebih mendapat permintaan kerana sistem kita lebih kemas dan berkualiti," katanya.

Beliau berkata sektor hartanah juga menjadi tumpuan Angkasa dalam membantu koperasi di negara ini berikutan permintaan tinggi dalam sektor berkenaan dalam kalangan anggotanya.

"Pangkalan data kita merekodkan koperasi-koperasi kita mempunyai 1,214 hektar tanah di seluruh negara yang sedia untuk dibangunkan.

Ia peluang yang baik untuk memaju dan menawarkan pembelian rumah dengan pelbagai kemudahan dan dalam hal ini koperasi bersedia membangunkan dan menyediakan pembiayaan rumah untuk anggota menerusi konsep musyarakah mutanaqisah atau 'pembiayaan ekuiti' ".

Mara Digital Mall , Koperasi , Angkasa

Artikel Sebelum

Bouverot Ketua Asia Selatan Nokia-Alcatel-Lucent

Artikel Berikut

Sedco Perluas Bazar Masjid Tahun Depan

Artikel Berkaitan

Angkasa Sasar Daftar 2,000 Lagi Koperasi

Lebih Artikel

Hujung minggu yang panjang pada 2019

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun

TH cadang letak had dana pendeposit