Rundingan Penggabungan MBSB Dan Bank Muamalat Lancar - Niaga | mStar

Rundingan Penggabungan MBSB Dan Bank Muamalat Lancar

KUALA LUMPUR: Rundingan penggabungan di antara Bank Muamalat dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) berjalan lancar, kata Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Munir Majid.

Menurutnya, rundingan itu belum dimuktamadkan, tetapi kemajuan setakat ini adalah baik.

"Kami perlu membuat laporan kepada Bank Negara mengenai apa yang telah dicapai menjelang akhir tahun, selepas itu kami perlu teruskan ke peringkat seterusnya," katanya pada 'Program Kembali Ke Sekolah'dianjurkan bank berkenaan di sini, Selasa.

Bank Negara Malaysia memberi kelulusan kepada Bank Muamalat dan MBSB untuk memulakan rundingan penggabungan pada 30 September, langkah yng akan membuka jalan untuk penubuhan bank Islam terbesar di negara ini.

Bank Pusat itu menetapkan rundingan penggabungan itu dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh kelulusan.

Sebelum ini dilaporkan, jika rundingaan penggabungan berjaya, saiz gabungan aset kedua-dua pemberi pinjaman itu dianggarkan lebih RM60 bilion, lebih tinggi daripada RM54 bilion saiz aset BIMB Holdings Bhd, syarikat pegangan Bank Islam Malaysia Bhd, bank Islam lengkap terbesar Malaysia.

Munir berkata, walaupun saiz aset penting, faktor kualiti juga perlu diambil kira.

"Saiz aset tanpa kualiti akan membawa kepada masalah besar. Oleh itu kita perlu melihatnya," katanya.

DRB-Hicom Bhd memegang 70 peratus kepentingan dalam Bank Muamalat manakala selebihnya oleh Khazanah Nasional Bhd.

Bank Muamalat , DRB Hicom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Majalah travel 3Sixty° Rai Penerbitan Isu Ke-100

Artikel Berkaitan

Bank Muamalat Catat Pertumbuhan 33.5 Peratus

Artikel Lain