suria

Pos Ar-Rahnu Biaya RM1 Bilion Perniagaan Ar-Rahnu

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd menjangkakan anak syarikat milik penuhnya, Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd, akan membayar RM1 bilion bagi membiayai perniagaan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) pada 2018.

Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai berlandaskan syariah bagi pinjaman bercagar jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata sejak ia bermula pada Jun 2012 hingga 31 Oktober, 2015, Pos Ar-Rahnu telah membayar lebih daripada RM700 juta pembiayaan kepada lebih 100,000 pelanggan termasuk warga asing.

"Ketika ini, kami mempunyai 65 outlet Ar-Rahnu di seluruh negara menawarkan produk emas pelaburan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kerjasama dengan syarikat perdagangan emas fizikal, Public Gold Group, di sini, Jumaat.

Beliau berkata kerjasama itu didorong permintaan pasaran yang semakin meningkat bagi pelaburan logam berharga.

"Kami melihat keperluan untuk membuka lebih banyak saluran pengagihan produk bagi kemudahan orang ramai, untuk menggalakkan mereka menyimpan emas fizikal bagi masa depan yang lebih terjamin.

"Selain penjualan produk emas, Pos Ar-Rahnu juga memulakan perniagaan belian semula emas terpakai, menawarkan margin lebih daripada 90 peratus bagi pembelian mana-mana emas dan barang kemas terpakai, dinar atau jongkong emas," katanya.

Pos Malaysia turut menyasarkan segmen perniagaan Ar-Rahnu menyumbang antara RM25 juta dan RM30 juta kepada pendapatan keseluruhannya bagi tahun kewangan akan datang.-- Bernama




Artikel Lain