DPMM Anggar 1 Juta Rumah Mampu Milik Diperlukan - Niaga | mStar

DPMM Anggar 1 Juta Rumah Mampu Milik Diperlukan

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menganggarkan 1 juta rumah mampu milik diperlukan di seluruh Malaysia untuk memenuhi permintaan golongan berpendapatan sederhana.

Presidennya Datuk Syed Ali Alattas berkata daripada jumlah itu, 300,000 rumah mampu milik diperlukan di kawasan Lembah Klang sahaja.

Bercakap kepada pemberita selepas Forum Pasca Bajet 2016 di sini hari ini, beliau berharap kerajaan dapat mewujudkan bank perumahan bagi membantu pemaju dan pembeli rumah.

"Institusi itu penting kerana kos membina 300,000 unit rumah berharga RM200,000, memerlukan pembiayaan kira-kira RM60 bilion," katanya.

Beliau juga berkata persatuan perumahan di Melaka dilaporkan gagal menjual 50,000 rumah kos rendah kerana bank enggan mengeluarkan pinjaman kepada pembeli yang mempunyai pinjaman tidak berbayar.

Mengenai Bajet 2016, Syed Ali berkata terdapat beberapa perkara yang masih tidak dapat ditangani terutamanya dari segi peruntukan kewangan dalam menjayakan agenda Bumiputera dalam perniagaan mikro yang semakin meningkat.

"Hanya 3.5 peratus daripada peruntukan RM260 bilion diperuntukkan untuk sektor itu. Dengan ekonomi yang tidak menentu, sektor perniagaan mikro Bumiputera serba sedikit terjejas," katanya.

Beliau berkata semasa krisis ekonomi 1997-1998, DPMM memperoleh bantuan lebih RM500 juta bagi membantu separuh daripada ahlinya yang terjejas.

"Pada ketika itu, DPMM mempunyai kira-kira 10,000 ahli dan kini lebih 500,000 peniaga Bumiputera telah berdaftar dan memerlukan bantuan bagi kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

DPMM , Rumah Mampu Milik

Artikel Sebelum

AirAsia Menang Kru Kabin Peneraju Asia

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"