Astaka Padu Serah Kuarters Imam, Bilal Masjid - Niaga | mStar

Astaka Padu Serah Kuarters Imam, Bilal Masjid

Ketua Cawangan Khas Johor Datuk Ramli Hassan menandatangani plak sebagai tanda penyerahan Bangunan Baru Kuaters Imam dan Bilal Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu. Turut hadir Pengerusi Astaka Padu Sdn Bhd Datuk Daing A.Malek Daing A.Rahman (kiri).

JOHOR BAHARU: Pemaju hartanah, Astaka Padu Sdn Bhd  (Astaka Padu) pada Rabu menyerahkan tujuh kuarters unit pangsapuri bernilai RM3 juta kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu Datuk Zamani Kasim berkata kuarters berkenaan bagi kegunaan Imam dan bilal Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di  IPK berkenaan.

"Pembinaan tersebut merupakan program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat dan ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil yang bernilai RM21 juta," katanya pada majlis penyerahan kuarters berkenaan di sini.

Katanya, kuarters tiga bilik tidur dengan keluasan 1,200 kaki persegi dan dilengkapi perabot itu siap dibina dalam tempoh 14 bulan turut mempunyai sebuah taska.

Hadir sama Pengerusi Astaka Padu Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman dan Ketua Cawangan Khas IPK Johor Datuk Ramli Hassan.

Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 28 Ogos lepas dan mampu menempatkan lebih 1,500 jemaah.

Astaka Padu , Polis

Artikel Sebelum

Mita Mahu Cukai Korporat PKS Dikurangkan

Artikel Berikut

Saham Hong Leong Bank Jatuh Selepas Umum MSS